Sabtu, 16 April 2016 | 1:32pm
PENYANYI, Shamim atau nama sebenar, Syed Shamim Syed Abdul Kadir dan Tasha Manshahar atau nama sebenar, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar. - Foto Munira Abdul Ghani

Bakal muncul solo, Tasha rimas dengan Syed Shamim?

TASHA Manshahar. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Berbanding rakan duetnya Syed Shamim, populariti penyanyi dari Sabah, Tasha Mansahahar jauh lebih menyerlah meskipun keserasian antara mereka sudah terbina sejak empat tahun lalu menerusi lagu seperti Selamat Ulang Tahun Cinta, Cuba Teka dan Be Mine.

Populariti Tasha atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 23, mendaki semakin pantas apabila merakamkan lagu, Terima Kasih bersama RJ hingga ada beranggapan Syed sekadar menumpang namanya untuk meraih peluang besar dalam industri.

Tasha bagaimanapun, menafikan kenyataan itu kerana Syed yakin untuk berdiri di atas kakinya sendiri. Baginya, jejaka itu bekerja keras mempromosikan bakatnya dan ia terbukti apabila Syed membolosi senarai Top 5, Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29.

"Kami muncul bersama-sama dan diterima ramai, cuma mungkin rezeki Syed datang lambat. Tetapi, saya lihat kerjayanya sedang mendaki dan saya yakin, Syed mampu berdiri pada tahap lebih baik. Tidak timbul isu Syed menumpang populariti kerana rezeki setiap insan tidak sama," katanya.

Pernah dikaitkan menjalin cinta, gosip itu bagaimanapun tidak pernah diambil serius Tasha. Baginya, harapan tinggi peminat itu membuktikan keserasian mereka ketika berkarya berjaya.

"Sudah empat tahun kami menjalin kerjasama, tetapi gosip itu tidak pernah hilang. Biarpun berulang kali dinafikan, persoalan mengenai cinta terus diajukan. Kami sudah lama berkenalan iaitu sejak menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas, Kuala Lumpur," katanya.

Terlebih dulu mencipta nama menerusi laman sosial, YouTube, Tasha yang kini popular dengan lagu duet bersama Syed, Ragu-Ragu sedang menyempurnakan proses rakaman album solonya. Tasha berkata, produksi solo itu bukan bermakna dirinya rimas dan ingin menamatkan gosip yang terus mengaitkannya dengan Syed.

Tasha sebaliknya, ingin mencari ruang baharu yang segar dan mencabar diri untuk melihat sejauh mana peminat menerima kehadirannya apabila muncul solo.

"Dalam berkarya, kita perlu berani mencari sesuatu yang berbeza. Sebelum ini, kami mungkin terlalu selesa sebagai pasangan duet. Jadi sudah tiba masa untuk saya dan Syed mencabar diri dengan menghasilkan album solo. Insya-Allah, apabila tiba masa kami pasti berduet semula," katanya.

Bakal memuatkan enam lagu, lima daripadanya ciptaan DJ Fuzz, album yang disifatkan Tasha sebagai produksi yang menyerlahkan kematangannya itu bakal menjengah pasaran dalam masa dua bulan lagi.

Berita Harian X