Sabtu, 16 April 2016 | 1:36pm

Piala FA: JDT sedia sahut cabaran Kedah malam ini


PEMAIN pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), mengadakan latihan di padang bola sepak Sekolah Menengah Tunku Anum menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang pasukan Kedah di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

JOHOR BAHRU: Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak sudah bersedia untuk berdepan Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, malam ini.

Pengendali JDT, Mario Gomez mengesahkan betapa kelibat Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero akan kembali menguatkan barisan serangan manakala penjaga gol, Farizal Marlias akan ditugaskan untuk mengemudi gawang.

Beliau menegaskan aksi separuh akhir pertama amat penting buat JDT dan tidak akan mengamal corak bertahan sebaliknya mengekalkan rentak permainan menyerang dalam usaha mencari bekalan selesa pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Larkin, 30 April ini.

"Malam ini adalah perlawanan amat penting bagi kami dan saya meletak sasaran memburu kemenangan kerana kita tahu ia boleh dijadikan modal bagi mengharungi separuh akhir kedua nanti.

"Kapten Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal dan Hariss Harun akan menguatkan jentera tengah, malah saya juga akan menurunkan semula Marcos Antinio bagi memperkukuhkan benteng pertahanan.

"Kemenangan pada aksi Piala AFC selepas menewaskan Lao Toyota FC 4-1, Rabu lalu nyata mencetus semangat buat setiap pemain dan mereka tampak semakin bersedia berdepan skuad Helang Merah yang kita semua ketahui begitu kental apabila beraksi di laman mereka sendiri," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Amri Yahyah yang beraksi konsisten ketika menentang kelab dari Laos itu, Gomez belum membuat keputusan sama ada akan menurunkan pemain veteran atau Mohd Azinee Taib untuk menguatkan posisi sayap kiri.

Apa pun pengendali dari Argentina itu tetap berwaspada dengan kekuatan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang memiliki dua penyerang berbahaya, Sandro da Silva Mendonça dan Carlos Kahe yang mampu menidakkan peluang JDT meraih kemenangan.

Beliau juga menyifatkan skuad Helang Merah yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu adalah pasukan yang mampu melakar kejutan jika kesebelasan pemain JDT beraksi dalam tekanan.

186 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »