Sabtu, 16 April 2016 | 5:11pm
Fizz Fairuz, bersama isteri Almy Nadia dan anak Nur Afina Arianna Mohd Fairuz Zainil Abidin, 1 tahun. - Foto Saifullizan Tamadi

Fizz Fairuz akur putaran hidup

Pelakon, Fizz Fairuz. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Pernah lantang menyuarakan nasibnya apabila tiga bulan tidak menerima tawaran berlakon, Fizz Fairuz akur dengan realiti putaran roda hidup insan seni. Meniti puncak kerjaya apabila menggenggam trofi Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011, suami kepada Almy Nadia ini menerima kenyataan, dirinya tidak selamanya disanjung.

Fizz mengakui, sebelum ini begitu kecewa apabila menjadi mangsa pilih kasih apabila tawaran berlakon bertukar tangan kepada pelakon baharu pada saat akhir hingga tertanya-tanya, apakah masih memiliki peluang untuk meneruskan minatnya dalam lakonan.

Bertemu pelakon kelahiran Pahang itu ketika majlis pelancaran projek Karya 12 yang dicetuskan Astro Citra, baru-baru ini, Fizz mengakui realiti seseorang anak seni tidak akan selamanya berada di puncak.

"Dulu, saya hanya bercakap mengikut perasaan tanpa memikirkan orang lain. Ketika itu, saya cuma berfikir mengenai diri dan rezeki kerana pernah berada di kemuncak kerjaya. Saya langsung tidak terfikir, zaman sudah berubah dan era kegemilangan saya perlahan-lahan berlalu.

"Saya perlu menerima kenyataan, kini masa untuk pelakon generasi baharu menyinar dan menjadi pilihan penonton serta stesen televisyen. Beberapa penerbit yang saya temui turut meluahkan perkara yang sama. Bukan bermakna tiada lagi tempat tetapi tidak semua watak sesuai dijayakan pelakon seusia saya.

"Alhamdulillah, nama saya masih menjadi pilihan dan tawaran berlakon tetap ada cuma tidak sehebat dulu. Saya perlu membiasakan diri dengan perubahan ini. Sesuai dengan kematangan, saya perlu memilih karya terbaik dan tidak lagi merebut apa saja tawaran yang datang.

"Bukan hanya saya, malah pelakon lain juga melalui putaran hidup yang sama. Saya menerima kehadiran wajah baharu yang memberi variasi kepada penonton. Saya tidak perlu kecewa kerana setiap orang sudah tertulis rezekinya," katanya.

Mengakui tawaran berlakon kembali diterima selepas filem Munafik lakonannya mendapat sambutan hangat, Fizz bagaimanapun, enggan hanya duduk berpeluk tubuh dan meratapi nasib hidupnya.

Optimis dengan peluang yang ada di depan mata, Fizz kini meneroka bidang perniagaan sebagai persediaan masa depannya kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada tawaran lakonan semata-mata.

"Apabila ditutup satu cabang rezeki, kita perlu berusaha mencari cabang rezeki lain. Saya mula memberikan tumpuan kepada perniagaan dengan menubuhkan syarikat, Rain Maker Creation sejak tahun lalu. Alhamdulillah, projek pertama akan saya kendalikan ialah program Karnival Joget Anak Pahang sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

"Saya bersyukur diberi mandat oleh kerajaan Pahang kerana saya anak kelahiran negeri itu. Program ini akan menjelajah ke 11 daerah di negeri ini yang akan bermula bulan depan," katanya.

Syarikat miliknya itu juga menguruskan pelbagai acara hiburan selain menerbitkan produksi memikirkan sudah tiba masa untuk dirinya mengarah dan menjadi penerbit.

Berita Harian X