Ahad, 17 April 2016 | 5:33pm

Tentera Australia yang disemadi di M'sia akan dibawa balik

RAAF Base Richmond, di New South Wales.

MELBOURNE: Rangka tentera Australia yang terbunuh dalam Perang Vietnam dan disemadi di Malaysia akan dibawa pulang ke Australia pada Jun, kata Menteri bagi Hal Ehwal Veteran Australia, Dan Tehan.

Semua rangka itu akan dibawa pulang dari Perkuburan Tentera Kem Terendak, di Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Australia, beliau dipetik sebagai berkata oleh ABC.

Upacara peringatan khas bagi keluarga diikuti upacara ketenteraan akan diadakan di RAAF Base Richmond, di New South Wales pada 2 Jun.

Kemudian kereta jenazah akan membawa 'tentera' Australia itu menjelajah ke seluruh negara bagi upacara pengebumian semula.

Australia menghantar lebih 60,000 tentera menyertai Perang Vietnam antara 1962 dan 1975, yang mana 521 terbunuh dalam peperangan itu.

Bagaimanapun, 24 jasad tentera Australia tidak dibawa pulang sebaliknya disemadikan di Terendak, Melaka manakala seorang dikebumikan di Singapura.

Mei tahun lalu, bekas perdana menteri Australia Tony Abbott, berkata kerajaan akan membawa pulang rangka tentera Australia itu melainkan terdapat permintaan daripada keluarga yang mahu kubur askar veteran itu tidak diganggu.

Presiden kebangsaan Persatuan Veteran Vietnam Australia, Ken Foster, berkata membawa pulang rangka tentera itu ke Australia akan membolehkan keluarga mereka memberi penghormatan terakhir.

"Selain itu, anggota keluarga boleh melawat kubur pada bila-bila masa," katanya kepada Daily Mail Australia. - BERNAMA

Berita Harian X