Isnin, 18 April 2016 | 12:20am
KOLEKSI jam antik milik Mat Daud untuk pameran dan jualan - Foto Fathil Asri
MAT Daud menganggap kerjaya sebagai pembaiki jam tangan antik memerlukan disiplin tinggi. - Foto Fathil Asri
MAT Daud menyewa ruang kedai di Pasar Besar Siti Khatijah. - Foto Fathil Asri
ZAKARIA sudah lebih 40 tahun melakukan kerja membaiki jam tangan antik selain jam moden. - Foto Fathil Asri
ZAKARIA melayani pelanggan di kedainya di Jalan Temenggong. - Foto Fathil Asri
SEBAHAGIAN koleksi jam antik Zakaria. Foto Fathil Asri

Baiki jam antik adalah satu seni

KOTA BHARU: Tekun dan sabar adalah syarat utama menjadi 'doktor jam' antik kerana sistem mekanikal enjinnya, agak kompleks berbanding jam tangan moden yang menggunakan bateri.

Jam tangan digital yang menggunakan bateri untuk menggerakkannya sudah melalui pelbagai perubahan selaras kemajuan teknologi yang semakin canggih.

Namun, bagi peminat atau pengumpul jam tangan antik, pastinya mereka memerlukan mekanik yang pakar dalam soal mekanikal, walaupun semakin kurang individu yang berkemahiran itu, selain sukar mendapatkan alat ganti.

Bagi pemilik jam antik di Kota Bharu, masalah itu mampu diatasi oleh 'dr jam' Zakaria Abdullah, 57, yang  lebih 40 tahun menjalankan kerja terbabit.

CAJ membaiki jam antik adalah di antara RM50 hingga RM300 bergantung kerosakan dan alat ganti. Foto Fathil Asri

Zakaria mengakui, usaha membaiki jam tangan antik memerlukan ketekunan, kesabaran emosi dan tumpuan kerana sistem enjin dan mekanikal amat kecil dan sensitif, jika terjatuh atau terhentak boleh memberi kesan kepada pergerakan.

Membaiki jam antik umpama kerja seni yang menuntut kesabaran tinggi. Paling penting, keupayaan memegunkan kedudukan tangan ketika meletak atau memasukkan alat ganti pada sistem mekanikal ketika proses baik pulih.

Seperti jam sistem kunci, ia mempunyai spring halus yang menjadi nadi pergerakan masa dan jika terputus, ia tidak lagi berfungsi. Pembaiki jam perlu memakai teropong pembesar bagi memudahkan kerja.

"Untuk menjaga jam lama dengan baik terutama yang menggunakan sistem kunci, setiap setahun ia perlu di servis bagi melancarkan pergerakan sistem mekanikal," katanya.

KETEKUNAN, kesabaran dan tumpuan amat diperlukan sebagai mekanik jam kerana sistem enjin dan mekanikal amat kecil serta sensitif. - Foto Fathil ASri

Zakaria berkata, dia mempelajari kaedah membaiki jam ketika di bangku sekolah lagi, seawal usia 13 tahun daripada arwah sepupunya, Mokhtar Che Lah, di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini.

"Selepas waktu sekolah, setiap hari saya akan bersama Pak Su Mokhtar belajar membaiki jam sehinggalah saya tamat persekolahan Tingkatan Lima dan menjadikannya sumber mencari rezeki sebagai pembaiki jam tangan untuk menyara keluarga.

"Hari ini tidak ramai anak muda berminat menjadikan usaha ini sebagai kerjaya. Institusi latihan kemahiran yang ada pun tidak menawarkan kursus. Jika tidak ada generasi baharu yang mahir membaiki jam antik, sudah pasti peminat jam berkenaan menghadapi masalah untuk membaikinya.

"Bagi peminat jam tangan antik, adalah satu kepuasan dan bangga memakai serta memiliki jam berkenaan terutama dari jenama Pagol, Rado, Titoni, Orient, Cyma, Seiko dan Rolex yang berusia lebih 40  tahun tetapi pergerakan masa masih tepat sama ada sistem mekanikal automatik atau kekunci," katanya yang mengakui lima anaknya berusia 20 hingga 30 tahun juga tidak berminat mewarisi kerjanya itu.

Katanya, kadar upah membaiki jam antik pula adalah di antara RM50 hingga RM300, bergantung kepada kerosakan serta alat gantinya.

Seorang lagi pembaiki jam tangan antik, Mat Daud Ahmad, 58, juga menganggap kerjanya sebagai cabang seni yang memerlukan disiplin tinggi.

Beliau juga melahirkan rasa gembira apabila anak kelimanya, Mazran, 25, daripada 13 beradik, mewarisi kerja seninya dalam bidang membaiki jam dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

UNTUK menjadi pembaiki jam antik sama ada sistem kekunci atau automatik, perlu mempunyai pengalaman tidak kurang lima tahun. - Foto Fathil Asri

Katanya, dia sentiasa memberi peringatan kepada anaknya, usaha membaiki jam tangan antik menuntut kesabaran, tekun, fokus serta minat yang tinggi.

"Kadang-kadang ia mengambil masa berbulan-bulan hanya untuk mencari alat ganti seperti tiang pemegang sistem enjin, 'gigi gear' atau spring sesebuah jam tangan antik kebanyakannya buatan Swiss.

"Kalau pun ada alat ganti, satu lagi cabaran ialah ketika memasang supaya kedudukannya tepat dan dikemaskan dengan skru yang semuanya halus dan agak sukar dipasang.

"Ia perlu menggunakan kanta pembesar yang dilekatkan pada mata ketika proses penukaran dan pemasangan semula yang menuntut kesabaran serta sentuhan tangan yang lembut dan tepat pada kedudukannya," katanya.

Mat Daud mengakui dia juga 'berguru' dengan Zakaria dan seorang lagi pembaiki jam tangan antik, Yaakob Karim, 70-an, ketika masih berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum berhenti pada awal tahun 1990.

MAT Daud bersama Mazran, di kedai mereka dekat Pasar Besar Siti Khatijah. - Foto Fathil Asri

"Kini saya menyewa ruang kedai di Pasar Besar Siti Khatijah untuk membaiki dan menjual jam tangan antik dan moden," katanya yang sudah lebih 30 tahun melakukan kerja itu.

Beliau berkata, untuk menjadi pembaiki jam tangan lama sama ada sistem kunci atau automatik, ia perlu mempunyai pengalaman tidak kurang daripada lima tahun.

Berita Harian X