X
Isnin, 18 April 2016 | 1:51pm

2 lagi ahli Geng Rantau diburu polis

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang dalam usaha memburu dua lagi ahli Geng Rantau yang bertindak melarikan diri selepas dua rakan mereka ditembak mati berhampiran kawasan perkuburan Cina di Jalan Mount Erskin, Pulau Tikus, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.20 pagi itu, empat penjenayah dipercayai warga Indonesia bertindak melarikan diri selepas melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah rumah di Lengkok Halia.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rejab, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes rompakan terbabit pada jam 2.30 pagi, lalu bertindak memburu kenderaan suspek.

"Selepas menahan kenderaan itu, berlaku tembak-menembak antara suspek dan anggota polis sebelum dua suspek berjaya ditembak, manakala dua lagi melarikan diri ke arah kawasan perkuburan Cina.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk sepucuk pistol," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Difahamkan, ahli kumpulan terbabit berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun aktif sejak enam bulan lalu dan mereka dipercayai masuk ke negara ini semata-mata bagi melakukan kegiatan jenayah sebelum pulang ke negara asal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X