Isnin, 18 April 2016 | 2:14pm

Kajian cengkerang untuk tulang menang hadiah i-Finoq 2016


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak menyampaikan hadiah kepada Muhammad Hazim Aiman pada Festival Antarabangsa Inovasi Dalam Teknologi Hijau 2016 (i-Finoq 2016) di Kompleks Sukan UMP, Gambang. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Penyelidikan cengkerang untuk tulang dihasilkan pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Hazim Aiman Zainal Abidin, dipilih pemenang utama Festival Antarabangsa Inovasi Dalam Teknologi Hijau 2016 (i-Finoq 2016).

Muhammad Hazim Aiman, 23, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia yang memenangi pingat emas, piala dan wang tunai RM2,000 menewaskan lebih 200 hasil penyelidikan lain yang dipertandingkan di Kompleks Sukan UMP, Gambang.

Penyelidikannya berjudul 'Penghasilan Produk Bernilai Tinggi Daripada Sisa Buangan: Transformasi Kulit Kerang Kepada Hydroxyapatite Untuk Teknologi Regenerasi Tulang'.

Katanya, beliau mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan penyelidikan yang menggunakan cengkerang kerang sebagai hydroxyapatiete iaitu bahan utama bagi membantu pertumbuhan tulang secara semula jadi.

Beliau berkata, penyelianya, Dr Jun Haslinda Shariffuddin yang mencadangkannya menggunakan cengkerang kerang kerana mudah diperoleh.   

"Menerusi penyelidikan ini, hydroxyapatite dihasilkan menyamai tulang dan mempercepatkan kadar pertumbuhan tulang.  

"Saya tidak menyangka dipilih pemenang utama dan berpuas hati dengan hasil penyelidikan ini serta sedang mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) untuk melakukan ujian klinikal," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.  

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengerusi i-Finoq 2016, Abdul Shukor Abd  Razak. 

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir, berkata pertandingan reka cipta teknologi hijau ini menggalakkan pelajar dan masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang melalui penghasilan produk mesra alam. 

"Kesan fenomena El Nino dan perubahan iklim global bukan saja menjejaskan alam sekitar tetapi kesejahteraan serta kehidupan kita.

"Jadi, penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui dapat memelihara alam semula jadi serta melindungi alam sekitar," katanya menerusi teks ucapan dibacakan Yuserrie.  

Berita Harian X