Isnin, 18 April 2016 | 4:13pm

3 banduan terlepas tali gantung

MUAR: Tiga banduan terlepas daripada hukuman gantung apabila masing-masing dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian terhadap seorang rakan banduan tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu terhadap Salihudin Sudin, 24; Arif Fikri Zainal, 22; dan Ahmad Fadhil Mohamad, 24; selepas ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa melakukan pembunuhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan terhadap Mohamad Azmizan Azman, 20, pada 20 hingga 21 Ogos 2013.

Muhammad Jamil mengarahkan pertuduhan tersebut dipinda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di bawah Seksyen 302 pada akhir pendakwaan.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Berita Harian X