Isnin, 18 April 2016 | 5:32pm

Siswa UMT ditemui lemas

KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) warga Itali ditemui lemas di kawasan perairan Pulau Redang, di sini, petang semalam.

Lorenzo Borella, 26, penuntut jurusan Sarjana Muda Kajian Ikan Yu, dikatakan sedang melakukan aktiviti selaman di pantai berhampiran Stesen Penyelidikan Penyu, Cagar Hutan, Pulau Redang bersama beberapa rakannya sebelum dikatakan lemas, kira-kira jam 5 petang.

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa lemas, Borella Lorenzo untuk dibawa ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Syahirah Abdullah

Difahamkan, mangsa mahir berenang dan ketika kejadian, dia hanya menggunakan 'fin' dan gogel sebelum melakukan selaman di kawasan pada kedalaman 10 meter.

Mayat mangsa ditemui rakan dan penduduk kampung yang bergegas memberikan bantuan kira-kira 15 minit selepas dia dikatakan lemas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata mayat mangsa dibawa ke Jeti Merang, Setiu sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kejadian kepada pegawai Kedutaan Itali di Malaysia dan berhubung dengan keluarga mangsa.

"Mayat mangsa kini masih berada di HSNZ dan polis sedang menunggu ketibaan wakil Kedutaan Itali untuk menuntutnya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X