Isnin, 18 April 2016 | 10:19pm

CIMB Group komited beroperasi di seluruh ASEAN

KETUA Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR: CIMB Group komited untuk melengkapkan kehadirannya di semua negara ASEAN dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju bank serantau.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa di Malaysia dan Filipina berhubung rancangan mengembangkan operasi ke Filipina.

Beliau berkata, strategi kemasukan kumpulan perbankan itu ke negara berkenaan sudah diluluskan di peringkat dalaman kumpulan.

"Kami menggunakan pendekatan inovatif untuk pasaran ini (Filipina) dengan memanfaatkan pengalaman kami merentasi rantau ini dalam bidang digital serta kerjasama dengan syarikat telekomunikasi.

"Bergantung kepada kelulusan, kami jangka akan menembusi Filipina menjelang 2017, lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan menjelang 2018," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan CIMB Group di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

Tengku Zafrul berkata, kumpulan perbankan itu yakin dapat mencatatkan kejayaan dalam membangunkan perniagaan di pasaran baharu itu berdasarkan pengalaman kejayaannya mengembangkan perniagaan secara organik di Singapura dan Kemboja.

Selain itu, katanya, operasi CIMB Group di Vietnam akan bermula hujung tahun ini dan kerja bagi pembangunan fizikal itu sedang berjalan lancar.

Mengenai perniagaan pembrokeran CIMB Group, Tengku Zafrul berkata, kumpulan perbankan itu tidak akan keluar daripada perniagaan berkenaan, sebaliknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan pihak yang berminat dalam mengukuhkan kehadirannya dalam segmen perniagaan itu.

Beliau berkata, ada beberapa pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dengan CIMB Group ketika ini.

"Kami mengakui persekitaran luaran yang tidak menentu membuatkan perniagaan pembrokeran terus berhadapan persekitaran mencabar.

"Justeru itu, kami terbuka kepada sebarang inisiatif kerjasama. Kami masih di peringkat awal rundingan dan akan menilai perkara ini dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk menjalin kerjasama," katanya.

Mengenai perniagaan insurans bukan hayat, Zafrul berkata, pihaknya berminat untuk menjalin kerjasama strategik di peringkat serantau untuk mengukuhkan kehadiran dalam segmen insurans berkenaan.

Berita Harian X