Selasa, 19 April 2016 | 12:32am
KERATAN akhbar BH pada Selasa, 8 Mac lalu, asrama Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammad di Kampung Batu 40, Sabak Bernam terbakar.
SEBAHAGIAN pelajar melihat bangunan asrama lelaki Sekolah Agama Raudhatul Tahfiz Jerai yang musnah akibat kebakaran pada 29 Julai, tahun lalu.

Sekolah pondok masih jadi perangkap maut

KUALA LUMPUR: Laporan suruhanjaya yang menyiasat kebakaran mengorbankan 27 penuntut pondok di Kedah pada 1989, masih tidak dijadikan iktibar pengurusan sekolah pondok dan maahad tahfiz negara ini, berhubung aspek ancaman bencana.

Selepas 27 tahun tragedi Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya dekat Yan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati aspek keselamatan pondok dan maahad tahfiz di negara ini masih rendah.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata masalah utama dikesan, pembinaan sekolah tahfiz dan pondok tidak mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2007) di setiap negeri.

"Antara isu keselamatan menonjol adalah pembinaan bangunan 'ala kadar' seperti struktur kayu tidak sesuai; penyambungan bangunan secara tidak sah; pembinaan atas tanah tidak sesuai; pendawaian usang; mengubah suai rumah; madrasah atau rumah kedai dan menggunakan khidmat kontraktor tidak bertauliah.


GAMBAR fail, Maahad Tahfiz Jamiul Hasanah musnah dijilat api akibat kebakaran di Tanjung Karang pada 9 Ogos tahun lalu. - Foto ihsan http://bm.selangorku.com/

"Saya bersetuju untuk mengatakan, bahawa keselamatan pelajar atau penghuni sekolah tahfiz di seluruh negara ketika ini boleh dipertikaikan dan tiada jaminan mengatakan bangunan digunakan selamat.

"Bangunan itu mungkin didakwa selamat oleh pemiliknya tetapi tanpa piawaian yang menentukan tahap keselamatan, bagaimana kita harus tahu risiko di masa hadapan, terutamanya dalam mencegah kebakaran," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kekerapan kebakaran membabitkan sekolah pondok dan maahad tahfiz di negara ini.

Difahamkan, ketika ini kurang daripada 100 daripada ribuan sekolah pondok dan maahad tahfiz yang dibuka di negara ini, memiliki Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Situasi itu, sekali gus mendedahkan ribuan pelajarnya dan penghuni lain kepada pelbagai bahaya, termasuk risiko kehilangan nyawa, terutama apabila premis terbabit terbakar.


Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Wan Mohd Nor berkata, pihaknya tidak mempunyai angka tepat jumlah maahad tahfiz dan pondok di negara ini yang tidak memiliki CCC.

Beliau berkata, ketiadaan CCC bermakna premis yang digunakan tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan jabatan itu.

Katanya, kebanyakan sekolah tahfiz di negara ini dibina mengikut kemampuan serta dana yang dimiliki oleh pentadbir dan pengurusannya menyebabkan tahap keselamatan diabaikan.

"Pembinaan tahfiz atau asrama tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana perkara yang harus diberi perhatian adalah lokasi, pelan pembinaan dan penggunaan perunding bertauliah untuk memastikan setiap peraturan dipatuhi.


Muhamad Sheikh Amal Sheikh Samad melihat katilnya yang hangus dalam kebakaran yang memusnahkan asrama kediaman pelajar lelaki Sekolah Menengah Agama Raudhatul Tahfiz, Kilometer 2, Jalan Gunung Jerai pada 29 July 2015. - Foto Amran Hamid

"Namun sejak dahulu, pengusaha dikesan membina sekadar untuk siap, kadang-kala secara gotong-royong. Situasi ini cukup membimbangkan kerana struktur dibina akan bermasalah di kemudian hari.

"Kecelakaan membabitkan sekolah tahfiz bukan sekadar kebakaran, tetapi runtuhan juga menjadi masalah besar.

"Kita pernah dikejutkan kes tanah runtuh yang mengorbankan anak yatim di Batu 14, Hulu Langat. Adakah kita mahu menunggu keadaan serupa berulang," katanya.

Tragedi tebing tanah runtuh di belakang asrama Madrasah Al-Taqwa dekat Hulu Langat itu, menimbus 25 penghuninya, menyebabkan 16 daripada mereka kebanyakannya anak yatim maut dalam kejadian jam 2.20 petang pada 21 Mei 2011.

Sementara itu, Kedah merekodkan kebakaran pondok dan maahad tahfiz paling banyak tahun lalu iaitu 22 daripada 34 kes yang berlaku di seluruh negara sepanjang tahun lalu.


KERATAN akhbar Berita Harian pada September 1989.

Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkata pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa menentukan tahap keselamatan atau kesihatan sekolah tahfiz kerana urusan itu di bawah jabatan agama setiap negeri.

"Dari segi prinsip, setiap sekolah agama perlu berdaftar dengan Jabatan Agama Negeri dan tertakluk kepada enakmen sekolah agama," katanya.

Katanya, JAKIM maklum dan mengakui banyak sekolah pondok dan maahad tahfiz menghadapi isu keselamatan berikutan keadaan bangunan masing-masing.

"Perkara yang menjadi isu keselamatan ini biasanya berlaku terhadap maahad tahfiz yang tidak berdaftar dan perkara itu sukar untuk dikawal," katanya.

2822 dibaca
Berita Harian X