Selasa, 19 April 2016 | 3:03pm

Swasta tawar peluang kerja kepada OKU


TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib. - Foto Owee Ah Chun

PUTRAJAYA: Kesediaan pusat beli-belah Mydin cawangan Putrajaya memberi peluang kerja kepada 13 pelajar lepasan pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9(2) di sini wajar dijadikan contoh.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata kerajaan sentiasa menyokong dan membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dalam pelbagai aspek terutama bidang pekerjaan serta amat menghargai sumbangan sektor swasta dalam aspek itu.

"Usaha dijalankan pihak sekolah di sini perlu dicontohi dan dipraktikkan di sekolah lain bagi memberi ruang serta peluang kepada pelajar lepasan pendidikan khas menonjolkan kemahiran atau keupayaan masing-masing dalam bidang pekerjaan.

"Walaupun tidak sempurna dan mempunyai masalah pembelajaran, mereka perlu diberi pendedahan untuk bekerja bersama individu normal lain supaya mereka dapat berdikari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Anugerah Cemerlang Kurikulum Kali ke-8 SMK Putrajaya Presint 9(2), di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mazirah Mohd Zain dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Putrajaya, Husna Abdul Rahman.

Ismail berkata, pembabitan pelajar pendidikan khas dalam sektor pekerjaan mampu mendidik mereka berdikari, sekali gus mengurangkan kebergantungan atau bantuan daripada ibu bapa dan guru.

"Saya sendiri pernah melihat golongan ini bekerja di Mydin dan mereka mampu memberi perkhidmatan yang baik kepada majikan serta berupaya melakukan tugas diamanahkan," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Putrajaya Presint 9(2), Mohd Zarrawi Ravi Abdullah, berkata pelajar lepasan pendidikan khas sekolahnya diberi peluang bekerja selama tiga bulan di Mydin Putrajaya.

"Ini salah satu cara kita membantu mereka terdedah dengan alam pekerjaan dan mereka berpeluang bekerja tetap di sana jika prestasi ditonjolkan memuaskan majikan," katanya.

Berita Harian X