Selasa, 19 April 2016 | 10:36pm

Aset pembiayaan Agrobank naik kepada RM7.44 bilion

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman pada pelancaran skim takaful perlindungan diri komprehensif terbaharu Agrobank, Takaful Mabrur-i di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halim Salleh
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman pada pelancaran skim takaful perlindungan diri komprehensif terbaharu Agrobank, Takaful Mabrur-i di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Aset pembiayaan Agrobank merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 25 peratus kepada RM7.44 bilion pada 2015 berbanding RM5.9 bilion pada 2011, dipacu program transformasi yang dilaksanakan sejak 2011.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, berkata program transformasi itu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memantapkan lagi daya saing dan meningkatkan keupayaan untuk melaksanakan peranannya sebagai agen pembangunan pertanian.

Katanya, bidang utama disasarkan dalam program transformasi Agrobank adalah sumber manusia, sistem dan produk, sekali gus mengukuhkan landasan menjadi bank peneraju yang memfokuskan kepada pertanian.

Beliau berkata, bank juga melaksanakan pelan strategik lima tahun (2012-2016) dengan fokus kepada lima bidang iaitu melebarkan rangkuman kewangan; melaraskan fokus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana; memperkasakan modal insan; meneroka peluang perniagaan melalui pakatan strategik dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan memanfaatkan kemajuan teknologi untuk menambah baik perkhidmatan dan sistem penyampaian.

"Hasil usaha berterusan, Agrobank kini menawarkan 46 produk pembiayaan dan deposit lengkap dan kemas kini, termasuk pembiayaan berjangka, modal pusingan dan pembiayaan perdagangan.

"Ia bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam semua kategori iaitu mikro, kecil, sederhana dan korporat," katanya pada pelancaran skim takaful perlindungan diri komprehensif terbaharu Agrobank, Takaful Mabrur-i di sini, hari ini. Pelancaran produk itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai Takaful Agro Mabrur-i, Wan Mohd Fadzmi berkata, produk berkenaan menawarkan perlindungan khusus untuk umat Islam dengan manfaat menarik termasuk badal haji dan wakaf.

Katanya, produk unik itu yang dibangunkan menerusi usaha sama dengan Takaful Etiqa, Takaful Mabrur-i ditawarkan dalam dua kategori iaitu individu dan berkelompok dengan sumbangan tahunan serendah RM75 bagi kategori individu dan RM40 bagi kategori berkelompok.

"Pelanggan produk ini menikmati manfaat lebih besar merangkumi manfaat kematian akibat kemalangan, kematian biasa, kehilangan upaya kekal. Lebih istimewa produk ini menawarkan manfaat tambahan iaitu badal haji atau upah haji, wakaf serta juga khairat kematian," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan pada pelancaran produk itu, Johari berkata, corak aliran perkembangan pemilikan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia mula menunjukkan perubahan sejak syarikat insurans dan institusi perbankan memperkenalkan pelbagai jenis produk takaful.

Berdasarkan perangkaan, katanya, kira-kira 45 peratus penduduk Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu produk insurans pada 2015, berbanding hanya 37 peratus pada 2005.

"Namun begitu, Malaysia masih jauh lagi daripada sasaran kadar penembusan sebanyak 75 peratus yang diukur mengikut peratusan penduduk yang dilindungi insurans hayat dan takaful keluarga dengan kadar penembusan 54.9 peratus pada 2015," katanya.

Pada pelancaran itu, Johari turut menyampaikan kad Takaful Mabrur-i tajaan Agrobank kepada 50 asnaf dari sekitar KL. Tajaan kepada golongan asnaf itu membabitkan jumlah perlindungan takaful bernilai RM750,000.

Setakat Januari 2015 hingga Februari 2016, jumlah jualan produk takaful oleh Agrobank berjumlah RM24.3 juta.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X