Rabu, 20 April 2016 | 10:16pm

Janna terkilan sering terpalit kontroversi


PELAKON, Janna Nick. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pelakon Janna Nick terkilan namanya sering terpalit kontroversi selepas kemenangannya sebagai Aktres Pilihan menerusi drama Kau Aku Kita pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016), bulan lalu.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata anasir negatif seakan-akan menghantui dirinya kerana sering dihambat pelbagai berita sensasi yang mencalarkan portfolionya sebagai pelakon.

"Saya nampak banyak cerita negatif timbul mengenai diri saya selepas memenangi kategori Aktres Pilihan DFKL 2016. Seperti ada unsur sabotaj yang bukan saja datang dari luar industri, sebaliknya daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang seni.

"Biarlah saya tidak memenangi apa-apa anugerah lagi selepas ini asalkan dapat mencari rezeki dengan tenang. Saya hanya menginginkan ketenangan dalam mencari rezeki buat keluarga dan tidak mahu dikaitkan dengan cerita negatif lagi.

"Gosip baharu yang timbul ini sememangnya mencalarkan imej saya sebagai pelakon kerana ia membabitkan masalah disiplin. Saya tidak mengendahkan komen mengenai fizikal dan imej diri, namun menitik beratkan aspek disiplin," katanya kepada BH Online.

Bintang yang mencipta nama menerusi drama rantaian Syurga Nur itu, dalam nada sebak, kesal dirinya dikatakan besar kepala dan tidak menghormati janji yang dibuat dengan seorang pengacara popular. Janna berasakan dirinya teraniaya kerana menjadi mangsa keadaan.

"Saya diminta menggantikan seorang tetamu yang tidak dapat hadir ke sebuah program pada saat akhir, namun menolak secara baik kerana jadual kerja yang padat. Pembantu pengarah tidak membenarkan saya menjayakan rancangan itu kerana terbabit dengan 35 babak untuk drama.

"Namun, mereka berkeras ingin menampilkan saya dalam program mereka dan datang ke lokasi untuk merakamkan rancangan berkenaan. Sejujurnya saya terkilan apabila timbul gosip sebegini kerana saya memberi pertolongan kepada pihak terbabit.

"Isu yang timbul haruslah dibincang antara pihak produksi dan program itu sendiri. Mengapa nama saya pula yang menjadi mangsa kerana hanya mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan oleh pihak produksi? Mereka mempunyai hak untuk tidak memberi pelepasan kerana saya terlebih dulu berjanji dengan mereka," tegas Janna.

Dalam perkembangan terkini, Janna sedang sibuk menjalani penggambaran Kimchi Untuk Awak di Korea Selatan. Ia turut membariskan Emma Maembong dan Aiman Hakim Ridza selaku teraju utama.


ENTRI Janna di laman Facebooknya.

Berita Harian X