Rabu, 20 April 2016 | 10:22pm

MU tekad kekal takhta Liga Perdana

KETUA Menteri dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Melaka United (MU) mahu mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima teratas dalam saingan Liga Perdana, dengan menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat di sini, Jumaat ini, bagi melayakkan pasukan itu beraksi dalam kempen Piala Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, berkata kemenangan ke atas Kuala Lumpur dalam pertemuan dua pasukan teratas liga itu, akan membolehkan skuad Sang Kancil mengukuhkan kedudukan teratas.

"Kita akan berdepan ATM dan Perlis selepas menentang Kuala Lumpur untuk merebut tempat layak ke Piala Malaysia sebelum pusingan pertama liga tamat, kita mahu menang menentang Kuala Lumpur untuk terus mengukuhkan kedudukan.

"Pada saingan Piala FA lalu, kita ditunjukkan jalan keluar oleh Kuala Lumpur melalui penentuan sepakan penalti, ini masanya kita tebus kembali kekecewaan itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Melaka di sini hari ini.

Pada masa ini, MU dan Kuala Lumpur berkongsi 18 mata dalam carta Liga Perdana, namun skuad Sang Kancil berada di kedudukan teratas berdasarkan perbezaan gol.

MU terkandas pada pusingan kedua Piala FA apabila tewas kepada Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti 2-4, selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

Idris juga berharap pemain import tengah MU dari Montenegro, Balsa Bozovic dapat diturunkan Jumaat ini, selepas terpaksa direhatkan akibat kecederaan di kaki kiri.

"Balsa diharap kembali cergas menentang Kuala Lumpur kerana gandingannya dengan Labi (pemain import dari Sweden, Labinot Harbuzi) mampu menguatkan jentera tengah dan corak serangan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X