Khamis, 21 April 2016 | 12:05am
TINJAUAN keadaan Madrasah Darul Ulum Al-Hashimiyyah, Jalan Padang Tembak, Georgetown berikutan kebanyakan sekolah pondok masih dalam keadaan uzur dan terdedah kepada kebakaran. - Foto Ramdzan Masiam

Undang-undang ada, penguat kuasa lepas tangan


KUALA LUMPUR: Kegagalan menguatkuasakan tindakan terhadap sekolah pondok dan maahad tahfiz yang melanggar undang-undang boleh menyebabkan kebakaran Pondok Pak Ya di Kedah, yang mengorbankan 27 penuntut pada 1989 berulang.

Ini kerana pihak berkaitan tidak menunaikan tanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap cadangan penambahbaikan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat tragedi hitam 27 tahun lalu itu.

Antara syor suruhanjaya yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah menambahbaik Akta Kerajaan Tempatan, Akta Bangunan, Akta Jalan dan Akta Perkhidmatan Bomba.

Malah, setiap negeri mempunyai Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap institusi pendidikan itu.

Bekas Setiausaha Suruhanjaya Diraja itu, Datuk Dr Mohammad Nong, berkata pembinaan dan pengurusan institusi pendidikan agama, sepatutnya sudah teratur selepas banyak perubahan dasar dilaksanakan.

"Kejadian tidak diingini berulang kerana ada pihak melanggar undang-undang. Mereka tidak ada kemampuan tetapi membina dengan mengabaikan ciri-ciri keselamatan yang patut ada," katanya kepada BH.


KEADAAN pondok pengajian agama yang terlalu dekat antara satu sama lain selain keadaan pondok yang uzur di Madrasah Ad Diniah Al Yusufiah, Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, kelantan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ketika dilantik menganggotai suruhanjaya itu pada 1989, beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Kerajaan Tempatan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain Mohammad, suruhanjaya yang menjalankan siasatan kira-kira lima bulan itu, dianggotai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lee Kim Sai; bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Seri Murad Mohd Nor; pakar perunding bangunan, Dr Bernard Wang Tsun Hao dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Zain, selaku Pengerusi.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menegaskan sekolah pondok dan maahad tahfiz yang gagal berdaftar dengan majlis agama di setiap negeri, tidak patut dibenarkan beroperasi demi keselamatan pelajar.

Beliau berkata, arahan itu dilaksanakan di Pulau Pinang sejak 2009 dan kegagalan mendaftar dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang, menyebabkan kelas tidak dibenarkan beroperasi.

"Kita tidak boleh salahkan mana-mana pihak dalam isu ini kerana majlis agama sendiri tidak mengenakan tindakan terhadap pengelola yang enggan berbuat demikian.


PELAJAR di Madrasah Darul Ulum Al-Hashimiyyah, Jalan Padang Tembak, Georgetown. - Foto Ramdzan Masiam


KEADAAN Madrasah Darul Ulum Al-Hashimiyyah, Jalan Padang Tembak, Georgetown yang terdedah kepada kebakaran dan menjadi perangkap maut. - Foto Ramdzan Masiam

"Peraturan ini mudahkan kita buat audit dan menilai prestasi pondok serta maahad tahfiz sambil memastikan kebajikan pelajar terpelihara termasuk tidak disalah guna untuk kerja luar seperti dihantar berniaga," katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi, pula berkata penguatkuasaan enakmen terhadap pentadbir yang ingkar perlu diketatkan.

Katanya, segelintir pentadbir tidak mahu terikat kerana selesa menggunakan modul sendiri seperti menghafal al-Quran semata-mata, tanpa subjek akademik tambahan, selain tenaga pengajar digaji tanpa menitikberatkan kelayakan.

"Ada pentadbir mengelak bertemu wakil majlis agama yang turun padang sedangkan langkah itu membantu memudahkan pendaftaran sekolah pondok dan maahad tahfiz yang dikelolakan," katanya.

Di Kota Bharu: Suruhanjaya Tenaga perlu lebih tegas dalam membendung pendawaian di sekolah pondok dan maahad tahfiz yang tidak teratur, termasuk menggunakan batang nibong sebagai tiang kabel penyambung elektrik.


TINJAUAN keadaan Madrasah Darul Ulum Al-Hashimiyyah, Jalan Padang Tembak, Georgetown berikutan kebanyakan sekolah pondok di dalam keadaan uzur serta terdedah kepada kebakaran. - Foto Ramdzan Masiam

Ini kerana penguatkuasaan adalah dalam bidang kuasa Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan penyambungan mengikut peraturan kerana sistem pendawaian sesuka hati boleh menyebabkan litar pintas dan seterusnya kebakaran.

Pengurus Besar (Bahagian Pembahagian) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Datuk Md Yuslan Md Yusoff, berkata, TNB mendapati kebanyakan pemilik premis berbuat demikian kerana tidak mampu mengupah kontraktor bertauliah.

"Sekiranya membuat pemasangan mengikut spesifikasi TNB, mereka perlu melantik kontraktor pendawaian dan kos mungkin agak tinggi, bergantung kepada ukuran premis.

"Sama ada tindakan mereka salah atau tidak (kaedah pendawaian) bukan kuasa TNB untuk tentukan, sebaliknya Suruhanjaya Tenaga. Namun, saya nasihatkan semua pengusaha pondok supaya membuat pendawaian teratur oleh kontraktor bertauliah.

Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Forensik Bomba dan Penyelamat Selangor, Nor Najila Budin, berkata penggunaan alatan elektrik yang banyak pada satu-satu masa, boleh menyebabkan litar pintas, sekali gus mengakibatkan kebakaran besar.

"Banyak kes kebakaran sekolah tahfiz di Selangor berpunca daripada penggunaan elektrik melebihi had seperti kipas atau lampu tidak ditutup serta penyambungan terlalu banyak secara serentak.

"Pendawaian atau kuasa elektrik sedia ada tidak mampu menampung penggunaan, lebih-lebih lagi apabila pendawaian usang atau dibuat secara ala kadar," katanya yang juga Ketua Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS).


ASRAMA perempuan di Sekolah Pondok Pak Ya dekat Yan, yang terbakar 27 tahun lalu, kini dibina semula dan dijadikan sebagai dewan utama sekolah. - Foto Nur Syazwana Mansor


PENGETUA Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al Halimiah atau Pondok Pak Ya, Azizah Yahaya menunjukkan replika landskap terbaru sekolah terbabit. - Foto Nur Syazwana Mansor

Profesor Institut Voltan dan Arus Tinggi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr Ahmad Darus, pula berkata pembinaan tanpa mengambil kira kadar penggunaan elektrik mengundang risiko litar pintas dan kebakaran.

Beliau juga berkata, kadar penggunaan elektrik bagi institusi pembelajaran berbeza  dengan keperluan rumah biasa.

"Dalam rumah biasa, setiap bilik biasanya dipasang satu soket 13 ampere (amp) dengan penggunanya sekitar dua atau tiga orang,  tetapi apabila diubah menjadi asrama, penggunaan meningkat kerana bilangan pengguna bertambah.

"Jika bebanan penggunaan elektrik bertambah, arus elektrik  meningkat sehingga berlaku pemanasan dawai dan  berkemungkinan mencairkan getah pembalut wayar. 

"Sentuhan di antara dawai mengakibatkan litar pintas, yang meningkatkan bebanan arus  elektrik, seterusnya menyebabkan kebakaran  mengejut," katanya yang juga Ketua Kluster Kejuteraaan, Teknologi dan Alam Bina Majlis Profesor Negara.

Beliau berkata, kebanyakan kebakaran bangunan yang ramai penghuni seperti asrama sekolah tahfiz berpunca daripada penyambungan dan penggunaan alat elektrik  berkuasa tinggi seperti cerek dan seterika.

2371 dibaca
Berita Harian X