Khamis, 21 April 2016 | 10:58am
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Lebuhraya Pan Borneo mudahkan hubungan Papar-Donggongon

PENAMPANG: Jalan Dongongon-Papar yang menghubungkan pekan Dongongon di sini, dengan daerah Papar, bakal menjadi lebuh raya yang memberi keselesaan kepada ribuan pengguna laluan itu tidak lama lagi.

Laluan itu yang menjadi jalan pintas dari Papar ke Dongongon selain jalan alternatif ke bandar raya Kota Kinabalu, sedang dinaik taraf kepada laluan berkembar dua hala.

Langkah menaik taraf laluan itu bakal menjadikan pergerakan lalu lintas di kawasan Dongongon dan sekitarnya lebih lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan berpunca daripada keadaan jalan yang sempit ketika ini.

Tinjauan mendapati kerja pembinaan giat dilaksanakan membabitkan kerja melurus dan menimbus beberapa bahagian jalan, pemotongan bukit dan pembinaan jambatan dengan sebahagiannya sudah mula diturap.

Kerja menaik taraf jalan sepanjang 11.7 kilometer dengan kos kira-kira RM232 juta itu sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah fasa satu sepanjang 706 kilometer yang membabitkan kos RM12.86 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, ketika melancarkan Hari Jeraya Sabah 2016, awal bulan ini, dilaporkan berkata Jalan Dongongon-Papar adalah pakej pertama projek Pan Borneo Sabah, selain Jalan Segama, Lahad Datu dan Jalan Tawau-Semporna.

Projek lebuh raya itu dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Ibu Pejabat Pelabuhan dan Dermaga Sabah di Kampung Andus, Papar, Ahad ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, ketika menjawab soalan berkaitan projek itu di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Isnin lalu, berkata menerusi projek fasa satu, kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah merangkumi kerja menaik taraf enam laluan.

Jalan terbabit ialah Jalan Sindumin-Kota Kinabalu, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, Jalan Tuaran-Kudat, Jalan Ranau-Telupid, Jalan Telupid-Lahad Datu dan Jalan Lahad Datu-Tawau.

Keseluruhannya, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan kerja menaik taraf 1,236 kilometer jalan raya yang disasar menjadi pemangkin pertumbuhan kepada daerah yang dilaluinya.

Projek itu akan memberi manfaat kepada penduduk di sepanjang jajaran dan pemangkin pertumbuhan bandar dan pekan seperti Sindumin, Sipitang, Beaufort, Membakut, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Kudat.

Sementara itu, penduduk Kampung Benoni, Papar, Razman Abdullah, 37, berkata pembinaan lebuh raya itu bakal mewujudkan jaringan perhubungan darat moden dan lancar di negeri ini untuk manfaat penduduk.

"Dengan adanya lebuh raya ini, tempoh perjalanan dapat dipendekkan, manakala nilai hartanah dan aktiviti ekonomi akan meningkat, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk," katanya.

Berita Harian X