Jumaat, 22 April 2016 | 7:55am

Laman sosial dibanjiri ucapan kematian Prince

WASHINGTON: Kematian mengejut lagenda muzik, Prince menyebabkan sosial media terutama Twitter yang dibanjiri kenalan, ahli muzik, peminat dan orang ramai seluruh dunia yang menyampaikan ucapan takziah dan kesedihan mereka.

Pelakon, pemuzik dan selebriti pantas menghantar mesej sedih dan ucapan takziah mereka sebaik berita mengenai pemergian penyanyi pop terkenal itu tersebar di media sosial sejak malam tadi.

"Satu semangat yang amat hebat, Prince punyai semangat yang kuat, mengagumkan, malah sangat kreatif yang tidak dimiliki sesiapa," kata Presiden Barack Obama dalam Twitter(@BarackObama).

Prince menjadi berita paling mendapat tempat di Twitter seluruh dunia sebaik berita kematiannya dilaporkan.

Sehingga petang Khamis (waktu Amerika Syarikat), namanya sudah dikongsi lebih empat juta kali.

"Dia mengubah dunia. Seorang yang mempunyai visi sebenar," kata Madonna menerusi posting twitter(@Madonna). "Ia satu kehilangan. Saya amat sedih." katanya.

Selebriti seluruh dunia turut menggunakan media sosial bagi mengimbas kehebatan Prince dalam dunia muzik genre berbeza - jazz, funk, R&B dan disko.

Prince memenangi tujuh anugerah Grammy dan satu Oscar.

Pelakon yang juga penyanyi, Will Smith dalam posting Facebooknya berkata, dia amat terkejut dan pilu kerana baru saja berbual dengan Prince pada malam sebelum kematiannya.

"Hari ini, Jada dan saya bersedih bersama anda semua kerana kita kehilangan seorang pemuisi yang hebat, seorang yang berinspirasi tinggi dan seorang artis yang hebat yang pernah lahir di dunia ini," katanya.

Artis veteran R&B, Lionel Richie dalam Twitter berkata: "Saya hampir tidak percaya. Saya amat terkejut. Banyak sangat kenangan indah, saya akan merinduinya."

"Kaku.Terkejut. (Harap)..ini bukannya satu yang betul," kata bintang pop, Justin Timberlake dalam twitter (@jtimberlake). - AFP

Berita Harian X