Jumaat, 22 April 2016 | 2:58pm

Teroka industri guna semula alat ganti kenderaan

Datuk Ahmad Maslan.

MELAKA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan lebih banyak syarikat tempatan merebut peluang menceburi industri guna semula alat ganti kenderaan yang memberi pulangan besar.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan, berkata industri guna semula atau dikenali sebagai 4R2S (reuse, repair, recycle, remanufacture spareparts and services) masih baharu di negara ini tetapi menjadi budaya di kebanyakan negara maju.

"Kira-kira 2.5 bilion kenderaan dijangka memenuhi dunia menjelang tahun 2050 dan bilangan ini membawa pelbagai bentuk pencemaran terhadap bumi.

"Jika alat ganti kenderaan ini diguna pakai semula, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan pencemaran melalui pembuangan alat ganti kenderaan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada besi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Antarabangsa Kitar Semula Automotif (IRT) kesembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari dan Presiden Persatuan Kitar Semula Automotif Malaysia (MAARA), Gwee Bok Wee.

Ahmad berkata, kerajaan mengunjur pendapatan RM2 bilion bagi eksport industri guna semula alat ganti kenderaan menjelang tahun 2020, selepas menyasarkan keuntungan RM500 tahun ini.

"Difahamkan hanya ada empat syarikat tempatan yang memulakan transformasi dalam industri guna semula kepada bina semula alat ganti kenderaan.

"Saya harap menjelang tahun 2020, akan ada 200 syarikat tempatan terbabit dalam bidang ini termasuk syarikat Bumiputera," katanya.

Berita Harian X