Jumaat, 22 April 2016 | 6:00pm

Perlu integriti cegah seludup dadah


KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (dua, kiri) melihat dari dekat pelbagai barang rampasan pada sidang media serbuan dan rampasan sebuah makmal memproses syabu berskala besar hasil pemantauan dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, di Bukit Aman. Serbuan dibuat di sekitar Shah Alam dan dan hutan Melintang, Perak. - Foto BERNAMA

SEKALI lagi Polis Bukit Aman mencatat kejayaan besar menahan 10 lelaki selepas menyerbu lapan makmal memproses dadah jenis syabu di Shah Alam dan Hutan Melintang Perak membabitkan rampasan bernilai RM36 juta.

Siasatan mendapati suspek membawa masuk bahan utama untuk memproses dadah jenis syabu yang diseludup masuk dari India.

Ada beberapa faktor berlakunya penyeludupan dadah, seperti kelemahan penguatkuasaan, ada permintaan, sindiket jenayah terancang dan isu integriti agensi penguat kuasa. Penyeludupan dadah adalah jenayah terancang terbesar di dunia selepas penyeludupan senjata api dan pemerdagangan manusia. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan negara kerugian RM7 bilion setahun kerana penyeludupan.

Kelemahan agensi penguatkuasa menyebabkan negara mudah dibolosi oleh penyeludup dadah. Kebanyakan pegawai penguat kuasa bukan sahaja tidak mempunyai kepakaran untuk menjejaki sindiket dadah, bahkan juga kurang terlatih. Kedua, terdapat banyak permintaan untuk membekalkan dadah, terutama sekali golongan belia di kawasan luar bandar dan kawasan FELDA yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Mereka juga dikaitkan dengan masalah sosial.

Ketiga ia membabitkan sindiket jenayah merentas sempadan. Pengedaran dadah adalah satu kegiatan dilakukan oleh sindiket tempatan yang mempunyai rangkaian dengan penjenayah terancang di luar negara. Oleh yang demikian, mereka mendapat bekalan dengan mudah dan menggunakan teknik yang sukar dikesan pihak berkuasa.

Faktor selanjutnya adalah disebabkan segelintir pegawai penguat kuasa tidak mempunyai integriti. Cawangan Khas PDRM mengatakan 80 peratus daripada agensi penguat kuasa di sempadan menerima rasuah daripada sindiket dadah, senjata api dan penyeludupan manusia. Perbuatan ini bukan sahaja boleh menyebabkan kemasukan dadah secara besar-besaran bahkan juga boleh mencemarkan imej negara.

Pegawai penguat kuasa yang bertugas di lapangan terbang sewajarnya mempunyai ilmu criminal profiling dan risikan yang dapat membantu mengesan orang yang disyaki membawa masuk dadah. Ini disebabkan modus operandi penyeludup masa kini sangat canggih dan menggunakan pelbagai teknik sukar dikesan oleh agensi penguat kuasa jika sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran itu.

Kamera litar khas

Jika dilihat di lapangan terbang New York, mereka menggunakan kamera litar khas yang boleh mengesan siapa sahaja yang diragui terbabit dalam kegiatan membawa masuk dadah. Agensi penguat kuasa juga patut menyediakan pegawai yang berpengalaman dan berpengetahuan untuk ditempatkan di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu masuk sempadan.

Sediakan alat pengimbas berkualiti tinggi yang dapat mengesan penyeludupan dadah dengan lebih mudah. Di dalam pembelian alat imbas ini, pastikan ia mempunyai spesifikasi terbaik dan yang ditetapkan. Ia boleh mengekang pembolosan.

Pastikan pegawai yang bertanggungjawab mengenai pembelian alat mesti mempunyai integriti tinggi. Dalam menangani isu sindiket penyeludupan dadah ini, setiap anggota agensi penguat kuasa seharusnya mempunyai rangkaian sumber yang banyak. Melalui sumber akan dapat maklumat mengenalpasti sindiket dan penyeludup dadah. Untuk mencapai maklumat ini pegawai memerlukan kebijaksanaan dan juga kemahiran yang tinggi.

Di antara kelemahan yang patut di atasi ialah kurangnya perkongsian maklumat di antara agensi penguat kuasa. Setiap agensi bertindak bersendirian disebabkan kurangnya komunikasi dan masing-masing berlumba lumba untuk membuat tangkapan dan mendapat publisiti.

Mesin pengimbas canggih

Agensi penguat kuasa di Australia melakukan profiling terhadap pesawat yang tiba dari negara berisiko tinggi. Negara pengeluar atau hab dadah akan diberi tumpuan dengan membuat pemeriksaan lebih rapi sehingga menggunakan anjing untuk menghidu dadah di dalam bagasi. Mesin pengimbas yang mereka gunakan adalah canggih dan setiap penumpang dikehendaki menjalani pemeriksaan dalam beberapa peringkat mesin pengimbas.

Adalah wajar jika sekiranya teknik sebegini dapat dipraktikkan di negara ini supaya penyeludupan dadah dan lain-lain dapat dibendung serta juga menghalang sindiket penyeludupan memilih Malaysia sebagai destinasi mereka. Pegawai yang bertugas di lapangan terbang dan sempadan hendaklah memberi lebih tumpuan kepada mengesan dadah yang diseludup masuk di pintu masuk ke negara ini.

Mereka yang bertugas di sempadan seperti di Sungai Golok, Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam juga mesti mempunyai kemahiran dan menrekrut sumber untuk mengesan sindiket dan penyeludup.

Walau dengan alat yang canggih sekalipun tanpa pegawai yang berintegriti, maka kegiatan penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia akan tetap berleluasa.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP

Berita Harian X