Jumaat, 22 April 2016 | 9:17pm

Ibu tiga anak dapat Anugerah Dekan selepas 12 tahun menuntut

MUHAMAD Firdaus Shamsudin bersama isterinya, Noor Nasreena Zabidi (dua dari kiri), Nur Shahda (tiga dari kanan) serta adiknya Nur Syakinah (dua dari kanan) bersama suaminya, Aqbal Syaifussin Aziz menunjukkan skrol masing-masing di UTM Skudai. - Foto Fahd Rahmat

JOHOR BAHRU: Mengorbankan sebahagian besar masa bersama keluarga untuk menimba ilmu disifatkan berbaloi bagi seorang ibu tiga anak apabila dipilih penerima Anugerah Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM-SPACE).

Tempoh pengajian yang berlanjutan hingga 12 tahun tidak menghalang Nur Shahda Md Esa, 35, yang bekerja sebagai Setiausaha di Pejabat Pendaftar UTM mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.56 sekali gus merangkul Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Sumber Manusia).

Nur Shahda yang ditemui berkata, beliau terpaksa mengambil masa lama menghabiskan pengajian berikutan komitmen kepada keluarga, namun sifat keterbukaan suami dan tenaga pengajar memberikan dorongan kepadanya untuk menamatkan pengajian.

"Alhamdulillah, pengajian sejak 2003 adalah tempoh perjalanan yang sukar apabila saya terpaksa menjaga keluarga dan anak selain perlu mencuri masa bagi mengulang kaji pelajaran, namun kini penat lelah saya seakan hilang ketika menerima segulung ijazah.

"Pada konvokesyen kali ini, adik saya Nur Syakinah Md Esa, 24 bersama suaminya Aqbal Syaifussin Aziz, 26 juga bakal menerima Diploma Pengurusan Teknologi dan ia sudah pasti menjadi kenangan manis buat saya," katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Dekan dan Hadiah Khas UTMSpace di Fakulti Alam Bina UTM di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Dekan UTM-SPACE, Prof Dr Mohd Fua'ad Rahmat yang menyaksikan 58 graduan menerima Anugerah Dekan, Anugerah Akademik (28) dan kategori Khas Suami Isteri, Adik Beradik dan Veteran (31 orang).

Berita Harian X