Khamis, 30 Oktober 2014 | 2:31pm

SBT jadi penanda aras sistem pendidikan negara bertaraf dunia - Muhyiddin

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan replika cek kepada pelajar dan guru dari SK Kampong Raja sempena majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi KOHORT 5 di Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara di sini, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Pencapaian Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) perlu dikekalkan bagi menjadi penanda aras dalam menentukan kecemerlangan sistem pendidikan negara yang bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kejayaan SBT membuktikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan sekolah dan warganya yang cemerlang hingga mencapai tahap antarabangsa.

Katanya, Kementerian Pendidikan memberi peruntukan tahunan kepada kepimpinan SBT termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru supaya ia dapat mengenal pasti strategi penambahbaikan melalui teknik pengajaran dan pembelajaran secara intervensi.

"Sebagai contoh, guru-guru SBT boleh memberi tumpuan kepada mata pelajaran Sains dan Matematik dengan melaksanakan penambahbaikan atau intervensi dalam jadual waktu mengajar mata pelajaran itu untuk mengekalkan prestasi," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan watikah Pengiktirafan SBT Kohort 5 kepada 13 Pengetua/Guru Besar di sini, hari ini.

Kementerian Pendidikan mengiktiraf sembilan sekolah kebangsaan dan empat sekolah menengah sebagai SBT yang baharu di bawah Kohort 5 tahun ini.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Air Merah, Kedah; SK Seri Wakaf Baharu, Kelantan; SK Kubang Kerian 3, Kelantan; SK Jenis Kebangsaan (SJKT) Ringlet Pahang; SK Lingga Baru, Sabah; SK Saujana Impian, Selangor; SK Kampong Raja, Terengganu dan SK Putrajaya Presint 9 (2) Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sekolah menengah pula membabitkan Sekolah Menengah (SM) Sains Rembau, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Pahang; SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang dan SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, kementerian akan terus memantau kedudukan sekolah-sekolah SBT melalui hasil keputusan atau pentaksiran peperiksaan awam serta Laporan Naziran yang mengandungi isu-isu berbangkit atau permasalahan.

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama sebahagian wakil sekolah-sekolah yang menerima watikah Sekolah berprestasi Tinggi (SBT) sempena majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi KOHORT 5 di Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara di sini, hari ini. - Foto Yazit Razali

Namun, katanya sekolah yang tidak mampu mengekalkan kedudukan mereka sebagai SBT dan merosot tiga tahun berturut-turut, akan dikeluarkan daripada kategori itu.

"Saya lihat ada satu dua sekolah. Apabila kita membuat penilaian, kita mendapati mereka tidak mampu mengekalkan kedudukan itu. Tetapi tidak mengapa. Kita masih meletakkan mereka sebagai SBT.

"Apa yang penting ialah sekolah itu melakukan penambahbaikan dan intervensi supaya ia tidak menghadapi masalah. Dan ini menjadi tanggungjawab kepimpinan sekolah, pengetua, PIBG, pelajar untuk berusaha keras mengekalkan kedudukan dan prestasi," katanya.

Muhyiddin menekankan bahawa Kementerian Pendidikan tidak mempunyai masalah atau kekangan untuk memberikan peruntukan kepada sekolah yang dipilih sebagai SBT memandangkan sasaran tahunan adalah 10 SBT.

"Kalau boleh, semua 10,000 sekolah, sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan di bandar atau di luar bandar diiktiraf sebagai SBT adalah lebih baik," katanya.

Justeru itu, beliau meminta SBT membantu dengan memberi tunjuk ajar dan berinterasi dengan sekolah-sekolah yang masih di tahap sederhana bagi mengembangkan budaya kecemerlangan pelajaran untuk turut diiktiraf sebagai SBT pada masa depan. - BERNAMA

Berita Harian X