Sabtu, 23 April 2016 | 12:21am

Endometriosis jejas kesuburan wanita

PENURUNAN kadar kesuburan sehingga 40 peratus dalam kalangan wanita tidak terhad pada faktor genetik saja sebaliknya, popular dalam kalangan pesakit endometriosis.

Kajian Pusat Fertiliti Kuala Lumpur mendapati wanita yang mengalami gangguan endometriosis berulang berisiko tinggi mengalami kemandulan dan sukar mendapatkan anak.

Endometriosis, berlaku apabila ada kehadiran tisu endometrium (selaput lapisan rahim) luar biasa pada pelbagai organ pembiakan luar rahim seperti ovari.

Biasanya, gejala berlaku ketika pesakit mengalami kitaran haid tetapi darah tidak keluar menyebabkan berlaku keradangan, kilang telur membengkak dan darah kotor terkumpul dalam saluran peranakan.

Apabila tisu endometrium berkembang atau tersumbat dalam saluran tiub falopia, pesakit akan mengalami gangguan sakit puan lain antaranya sista (kantung tertutup terbentuk daripada lapisan membran, mengandungi cecair dan menyebabkan buncit) serta barah ovari.

Setiap wanita risiko diserang

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Ramsay Sime Darby, Dr Jaspal Singh, berkata setiap wanita berisiko mendapat serangan endometriosis.

Beliau berkata, wanita juga kerap diserang senggugut ketika datang haid berisiko tinggi.

Katanya, ini berikutan gejala antaranya senggugut, Menorrhagia (tempoh berat), keradangan pelvis, keletihan dan kemurungan petanda awal masalah dalaman sistem pembiakan wanita.

"Endometriosis boleh berlaku dalam apa jua keadaan selagi wanita mengalami kitaran haid dan hormon estrogen. Puncanya sukar dikesan. Ada pesakit hanya mengalami endometriosis tahap ringan tidak menyedarinya sehingga dikesan ketika menjalani ujian ultra bunyi kehamilan.

"Ada pesakit kerap diserang senggugut sebelum, ketika dan selepas datang bulan akibat kumpulan darah kotor tersekat dan membentuk ketulan endometriosis darah," katanya.

Dr Jaspal berkata, kira-kira 90 peratus wanita mengalami senggugut ketika kitaran beberapa hari pertama haid namun, gejala kehadiran endometriosis adalah tahap kesakitan.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Ramsay Sime Darby, Dr Jaspal Singh.

Peka tahap kesakitan

Katanya, wanita perlu tahu membezakan atau mengambil berat jenis kesakitan dialami ketika datang bulan dan menjalani pemeriksaan sakit puan untuk pengesahan.

Selain itu, wanita hamil lebih daripada sekali tidak terkecuali berisiko mengalami endometriosis berulang berikutan kajian mendapati ia tidak sembuh menerusi kehamilan sebaliknya, mengurangkan kadar kesuburan.

"Kemerosotan kesuburan bergantung pada tahap keseriusan endometriosis. Pesakit alami endometriosis sukar mendapatkan anak berikutan kadar kesuburan menurun sehingga 15 hingga 25 peratus (endometriosis ringan) dan 25 hingga 50 peratus (kes serius)," katanya.

INFO

- Endometriosis kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia lewat 20-an dan 30-an serta tidak pernah melahirkan anak.

- Tujuh peratus wanita berusia 18 hingga 35 tahun dicatatkan mengalami masalah endometriosis gagal hamil.

- Diagnosis pengesanan endometriosis dilakukan pakar berdasarkan maklumat sejarah keluarga pesakit khususnya ibu dan adik beradik perempuan, gejala dialami, tempoh kesakitan, ujian pengimejan dan ujian laparoskopi.

- Endometriosis tidak boleh disembuhkan dengan kehamilan. Ada pesakit terpaksa buang ovari apabila menghidap endometriosis serius.

Prosedur rawatan

- Kemandulan akibat endometriosis boleh diperbetulkan melalui pembedahan atau bantuan teknik persenyawaan ketika kehamilan.

- Apabila disahkan menghidap endometriosis, pesakit perlu segera menjalani rawatan bergantung kepada gejala, saiz dan kesannya selepas rawatan atau pembedahan.

- Rawatan pilihan dengan merawat sista ovari endometriotik dan rawatan kemandulan.

- Kaedah rawatan rutin adalah simptomatik, analgesik, hormon.

- Prosedur pembedahan sistektomi, adhesiolysis dan pembuangan endometriosis

- Individu yang tidak bercadang hamil boleh mengambil pil gabungan disyorkan pakar bagi mencegah endometriosis dan mengurangkan perkembangan endometriosis.

Kesan endometriosis

- Dismenorea (senggugut)

- Menorrhagia (tempoh berat)

- Kemandulan (ketidakupayaan untuk hamil)

- Dispareunia (persetubuhan yang menyakitkan)

- Sista ovari

- Penyakit keradangan pelvis

- Keletihan dalam pekerjaan dan kehidupan sosial

- Kemurungan.

Berita Harian X