Khamis, 30 Oktober 2014 | 3:09pm

Tidak perlu pinda AUKU tangani isu pencerobohan haram di UM

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan replika cek kepada pelajar dan guru dari SK Kampong Raja sempena majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi KOHORT 5 di Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara di sini, hari ini. - Foto Yazit Razali
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan replika cek kepada pelajar dan guru dari SK Kampong Raja sempena majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi KOHORT 5 di Bahagian Teknologi Pendidikan Bukit Kiara di sini, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) memandangkan peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu pencerobohan haram di Universiti Malaya (UM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu itu boleh ditangani pihak universiti tanpa perlu penambahan atau pindaan kepada akta sedia ada.

"Lagipun, ini adalah urusan universiti. Pihak kementerian tidak pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti, baik dari segi kegiatan, proses pembelajaran dan sebagainya termasuk apa yang berlaku di UM baru-baru ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian sebagai mengulas insiden membabitkan 300 belia termasuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang merempuh masuk pintu pagar UM pada Isnin malam untuk menghadiri ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dijadual berlangsung di dewan universiti itu.

Program itu tidak mendapat kebenaran UM dan pihak keselamatan universiti itu mengunci pintu pagar utama universiti.

Pihak UM sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu dan sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap pelajar terbabit mengikut AUKU dan perlembagaan universiti itu.

Muhyiddin berkata, beliau sudah dimaklumkan bahawa perkara itu sedang diperhalusi pihak pentadbiran universiti, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Katanya, tanggungjawab menangani isu itu terserah kepada kebijaksanaan pentadbiran universiti itu untuk mengguna pakai peruntukan AUKU berdasarkan fakta-fakta yang ada.

"Kalau terbukti kesalahan dari segi peraturan universiti di bawah AUKU atau undang-undang lain seperi Kanun Jenayah ataupun undang-undang keselamatan, maka terserah kepada pihak pentadbiran universiti untuk mengambil tindakan yang sesuai," katanya.

"Kalau sesiapa masuk tanpa kebenaran tanpa membuat apa-apa pun, ia adalah satu kesalahan kerana kawasan kampus universiti adalah kawasan persendirian. Apatah lagi, jika melakukan kesalahan-kesalahan yang saya lihat melalui gambar media berbentuk keganasan," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X