Khamis, 30 Oktober 2014 | 3:12pm

Najib berlepas pulang selepas lawatan tiga hari di Dubai

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melihat karya seni di Marketplace of Creative Arts (Mocafest) pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-10 (WIEF Ke-10) di sini, semalam. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melihat karya seni di Marketplace of Creative Arts (Mocafest) pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-10 (WIEF Ke-10) di sini, semalam. - Foto BERNAMA

DUBAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berlepas pulang ke tanah air pada Khamis selepas mengadakan lawatan kerja selama tiga hari di bandar raya paling padat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Dubai World Central Al Maktoum International Airport di sini kira-kira 10.50 pagi waktu tempatan (2.50 petang waktu Malaysia).

Antara yang hadir di lapangan terbang ialah Duta Malaysia ke UAE, Datuk Ahmad Anwar Adnan; Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim serta pegawai kanan Malaysia.

Sepanjang tiga hari lawatan kerja Najib bersempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10 yang bermula 28 Oktober itu, jadual beliau padat dengan pelbagai program penting.

Lawatan beliau ke sini adalah atas undangan Naib Presiden UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammad Bin Rashid Al Maktoum.

Bertemakan 'Perkongsian Inovatif untuk Pertumbuhan Ekonomi', forum tahunan itu yang diadakan di Madinat Jumeirah di sini bertujuan membentuk kerjasama lebih erat antara negara anggota dan membawa era baharu kemakmuran dalam ekonomi global.

Forum anjuran Yayasan WIEF dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dubai itu mengumpulkan sembilan pemimpin negara, 12 menteri, empat gabenor bank pusat, 181 pemain peranan dan lebih 2,700 perwakilan dari lebih 100 negara. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X