Sabtu, 23 April 2016 | 12:22pm

DLP tangani penguasaan bahasa Inggeris - Sultan Perak

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan di 300 sekolah rendah dan menengah seluruh negara, adalah dasar yang dilaksanakan berdasarkan kajian terhadap pengalaman dasar pendidikan terdahulu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah program itu bertujuan menangani masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan golongan muda hingga dibangkitkan kebanyakan majikan, baik dalam sektor awam mahu pun swasta.

Bagaimanapun, titah baginda, kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan DLP boleh menjejaskan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perlu diberi perhatian dan maklum balas oleh kerajaan.

"Pelaksanaan DLP yang diperkenalkan tahun ini, adalah selepas mendengar dan belajar daripada pengalaman lalu berhubung apa yang berkesan dan tidak berkesan.

"Sebahagian pihak menentang inisiatif ini kerana bimbang status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terjejas, selain kepentingannya terhakis pada masa depan.

"Kebimbangan ini ada asasnya dan memerlukan maklum balas daripada kerajaan untuk menjelaskan dasar berhubung bahasa kebangsaan dan komitmen dan jaminannya memelihara dan mengukuhkan bahasa Melayu," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengetua SMK St John, Dr Puvanendran V Maruthavanar.

Sultan Perak turut berkenan mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada SMK St John yang juga alma maternya, melalui tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Berita Harian X