Ahad, 24 April 2016 | 12:25am
ELDA memiliki kelompok peminat tersendiri ketika bakatnya diperkenalkan kepada umum pada 1997. - Foto Instagram
ELDA bersama peminat.

Elda mahu berdangdut semula


NAMA Elda Susanti mungkin tidak setanding penyanyi yang memperjuangkan irama dangdut seperti Mas Idayu, Amelina, Haiza dan Sheeda, tetapi tetap memiliki kelompok peminat tersendiri ketika bakatnya diperkenalkan kepada umum pada 1997.

Menerusi dua album dangdut, Yang Ku Sayang dan Semakin Sayang pada 1998, penyanyi berdarah Riau Indonesia di sebelah ibunya bagaimanapun gagal bertahan lama.

Apabila populariti irama dangdut perlahan-lahan pudar, Elda yang beralih seketika kepada genre pop komersial, turut merasai tempias itu apabila kelibatnya beransur hilang dari industri muzik.

Memulakan kerjaya nyanyian pada usia 16 tahun, Elda pernah bertekad menebus kesilapannya kerana terlalu mengikut permintaan syarikat rakaman tetapi usahanya itu tidak berhasil apabila percubaan beralih kepada genre yang lebih komersial tidak diberi perhatian peminat.

Selepas lebih sedekad menyepikan diri, Elda, 34, yang kini kembali dengan penampilan berhijab, mengakui fokus bersimpang-siur ketika mula mencipta nama membuatkan kerjaya seninya terumbang-ambing sebelum tenggelam di celah kebangkitan bakat baharu.


ELDA atau nama sebenar Elda Susanty Abdul Malik. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya bukan menghilang atau merajuk seperti yang didakwa sesetengah pihak. Saya mula berkecimpung sebagai penyanyi pada usia terlalu muda, menyebabkan tidak mampu sepenuh perhatian kepada aktiviti seni kerana fokus utama saya adalah pelajaran.

"Banyak faktor menyumbang kehilangan saya. Mungkin juga kerana ketika itu, saya kurang pasti dengan arah yang ingin dituju menyebabkan hilang fokus. Apabila mendirikan rumah tangga, tumpuan saya beralih kepada suami dan anak-anak.

"Sukar untuk jelaskan sebab utama saya menyepi tetapi tidak pernah membawa diri. Saya tetap ada, cuma tidak lagi diberi perhatian seperti ketika irama dangdut sedang memuncak.

"Saya berharap kemunculan semula pada usia 30-an ini tidak terlalu lewat dan akan diterima baik oleh peminat yang pernah mengenali," katanya.

Elda berkata, pengalaman yang dikutip biarpun tidak lama tetapi memberikan ruang yang berharga untuk dirinya kembali memulakan langkah dalam dunia hiburan. Meskipun senario industri muzik tidak lagi sama seperti dulu, Elda percaya, setiap manusia sudah ditentukan rezekinya.


ELDA berharap kemunculan semula pada usia 30-an tidak terlalu lewat dan akan diterima baik oleh peminat yang pernah mengenali. - Foto Instagram

Akui Elda, berbanding dulu, peminat kini lebih terbuka menerima penyanyi yang memperjuangkan irama dangdut biarpun tampil dengan imej bertudung.

Selain mendapat restu dan sokongan dari suaminya, Elda berkata, hatinya tergerak untuk kembali aktif selepas menonton program realiti popular, Gegar Vaganza.

"Minda masyarakat semakin terbuka minda dan menerima baik kemunculan penyanyi berhijab, namun saya harus pandai menjaga batasan supaya tidak menyinggung sensitiviti. Lambakan artis bertudung terus menerima sokongan peminat menguatkan lagi semangat saya untuk kembali menyanyi dan memperjuangkan genre yang sama.

"Dangdut tetap ada peminatnya yang tersendiri. Cuma sebagai penyanyi, saya tidak mahu terikat 100 peratus dengan satu genre saja. Tidak salah saya mencuba lagu berentak komersial lain, namun ketika ini, fokus diberikan kepada dangdut kerana saya sedang berjuang dalam program realiti baharu, Dangdut Star.

"Alhamdulillah, suami memberikan kebenaran untuk kembali aktif, malah dia yang memberikan saranan untuk saya mencuba nasib. Saya berterima kasih kepada rakan seperjuangan, Salwa Abdul Rahman, yang membantu melobi nama saya kepada penganjur," kata Elda.


10 peserta program realiti Dangdut Star, (dari kiri) Fiesha, Wanie, Rojer, Aishah, Felix, Jiwa, Zizi, Fitri, Elda dan Zarith. - Foto Saifullizan Tamadi

Menerusi program itu, Elda bakal bersaing dengan sembilan penyanyi lain iaitu Rojer (Mohd Rozaidy Shukry); Fitri (Fitri Hiswady); Felix (Felix Agus); Zarith (Zarith Shuhada); Aishah (Siti Aishah); Wanie (Azmahirwani); Fiesha (Norerinafisha) dan Zizi (Nurfazalah).

Dangdut Star yang bakal bersiaran secara langsung mulai 27 April ini, bukan sekadar untuk mengetengahkan bakat dalam irama dangdut, sebaliknya mengembalikan semula kegemilangan genre berkenaan seperti yang dikecapi lebih sedekad lalu.

"Jika diikutkan, saya adalah antara peserta paling tua dalam program itu. Saya ingin membuktikan usia tidak memberikan impak terhadap mutu persembahan. Mungkin ada yang menganggap, sudah terlalu lewat untuk kembali aktif namun semuanya bergantung kepada rezeki.

"Ada hikmahnya mengapa saya tidak popular dulu dan kini kembali memberi fokus kepada bidang nyanyian. Saya tidak mahu mensia-siakan lagi platform yang diberikan penganjur apatah lagi, minat terhadap nyanyian masih utuh dalam diri," kata Elda.

Penyanyi kelahiran Johor itu pernah memasuki pusingan separuh akhir Muzik-Muzik pada tahun 1997. Biarpun menyepikan diri daripada nyanyian, Elda bagaimanapun masih meneruskan kerjaya seni dengan berkhidmat sebagai guru vokal secara sambilan.

Berita Harian X