Khamis, 30 Oktober 2014 | 4:52pm

Hasil kutipan GST dianggarkan RM23.2 bilion - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April tahun depan dengan kadar enam peratus, dianggarkan berjumlah RM23.2 bilion.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengecualikan sebilangan barangan daripada dikenakan GST yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3.8 bilion.

"Harus diketahui bahawa dengan pelaksanaan GST ini, maka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dimansuhkan yang menyebabkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak RM13.8 bilion.

"Ertinya, bila ditolak RM13.8 bilion dan RM3.8 bilion daripada kutipan RM23.2 bilion itu, baki yang ada berjumlah RM5.6 bilion," katanya dalam jawapan bertulis bagi soalan daripada Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Najib berkata, jumlah kos yang terlibat bagi melaksanakan GST pula ialah sebanyak RM137 juta.

Beliau berkata, syarikat yang mencapai nilai ambang RM500,000 tetapi tidak mendaftar dan tidak mengutip GST boleh dikenakan denda sebanyak RM30,000 atau pemiliknya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat kecil di bawah nilai ambang RM500,000, mereka tidak diwajibkan untuk berdaftar dan dengan itu isu mengutip GST tidak berbangkit," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X