Ahad, 24 April 2016 | 3:07pm

Warga Pakistan maut kesan tikaman, hirisan di leher

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar telur ayam warga Pakistan ditemukan mati dengan kesan tikaman dan hirisan pada leher serta tubuhnya di tepi jalan Taman Sri Bintang, Kepong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy, berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam, mangsa berusia lingkungan 30-an itu yang baru pulang dari kerja dijumpai berlumuran darah dan terbaring dalam keadaan mengiring oleh majikannya yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, mangsa dan majikannya baru sahaja meletakkan lori membawa telur di kawasan meletak kenderaan di situ sebelum mangsa terus menunggang motosikal untuk pulang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, majikannya yang baru sahaja memandu kereta tidak jauh dari tempat meletak kenderaan itu ternampak mangsa terbaring berlumuran darah di tepi jalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Munusamy berkata majikannya tidak melihat kelibat suspek. Motif pembunuhan sedang disiasat.

Katanya mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam pada kedua-dua belah tangan, belakang badan dan kesan cedera dihiris pada leher dan pinggang kanan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Munusamy berkata hasil pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemukan sarung parang berwarna hitam manakala motosikal milik mangsa berada dalam keadaan tersandar pada sebatang pokok besar berhampiran.

"Mangsa telah bekerja di negara ini selama dua tahun dan telah berkahwin serta mempunyai seorang anak di Pakistan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X