Isnin, 25 April 2016 | 12:07am
SUHAIMI (kanan) memberikan penerangan kepada pelanggannya. - Foto NSTP
SUHAIMI bersama kakitangan Ikhlas Tours di Auckland. - Foto NSTP
PAKEJ melancong menggunakan motohome antara khidmat yang disediakan IkhlasTours.
PELANCONG ke New Zealand juga berpeluang melakukan aktiviti lasak dan mencabar seperti payung terjun. Foto ihsan www.ikhlastours.co.nz
ANTARA pelanggan yang menggunakan khidmat Ikhlas Tours. - Foto ihsan www.ikhlastours.co.nz
ANTARA pelanggan yang menggunakan khidmat Ikhlas Tours. - Foto ihsan www.ikhlastours.co.nz
ANTARA pelanggan yang menggunakan khidmat Ikhlas Tours. - Foto ihsan www.ikhlastours.co.nz
KEINDAHAN alam semula jadi menjadi tarikan pelancong ke New Zealand. - Foto ihsan www.ikhlastours.co.nz

Rakyat kita buka agensi pelancongan di NZ


BERIKUTAN landskapnya yang memukau dengan panorama menarik seperti dipaparkan dalam filem terkenal Lord of the Rings, ramai yang menyenaraikan New Zealand sebagai destinasi yang ingin dikunjungi, termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tidak ketinggalan menjadikan negara itu sebagai lokasi percutian idaman adalah pasangan suami isteri, Suhaimi Mohamad dan Nor Zakiah Abdul Hamid.

Bertitik tolak daripada minat mereka mengembara ke seluruh pelosok New Zealand, pasangan itu akhirnya bertekad menubuhkan Ikhlas Tours Ltd yang berpangkalan di Auckland.

Keunikan perniagaannya berkonsepkan 'assisted-self drive' memberi peluang kepada pengunjung atau pengembara bebas (FIT) meneroka, mendekati, mempelajari nilai kehidupan, memerhati keindahan alam dan mengagumi ciptaan Allah di bumi itu.

Menyedari potensi besar dimiliki pasangan usahawan itu, syarikat mereka menerima sokongan kukuh daripada Auckland Tourism Events and Economic Development (ATEED), Tourism Export Council of New Zealand, Tourism Industry Association of New Zealand (TIANZ) dan Auckland Chambers of Commerce.


PENGASAS dan Pengarah Urusan Ikhlas Tours, Suhaimi Mohamad. - Foto NSTP

Suhaimi yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Ikhlas Tours berkata, selepas berkhidmat di Jabatan Audit Permodalan Nasional Bhd (PNB), beliau sekeluarga berhijrah pada 2007 untuk berkhidmat sebagai penganalisis data syarikat di Auckland.

Bagi menampung kehidupan di sana, katanya, isteri beliau yang juga bekas pensyarah sebuah IPTA mula mencari kerja dan mencuba pelbagai jenis perniagaan dari membuat mi kuning sehinggalah kepada karipap sejuk beku, namun masih kurang berjaya.

"Sebenarnya sudah lama kami menyimpan hasrat meneroka bidang pengurus pelancongan ini, sehinggalah pada satu petang sekitar tahun 2012 saya ditakdirkan berjumpa dengan kumpulan FIT Malaysia di Masjid Umar, Auckland, merekalah yang mendorong kami memulakan langkah pertama.

"Kami kemudian mencuba nasib menemui agensi pelancongan di kerajaan tempatan dan mereka banyak berikan dorongan serta panduan untuk jalankan perniagaan secara komersial dan profesional termasuk di laman web kami.

"Agensi itu nampak Asia Tenggara mempunyai potensi besar dalam industri pelancongan, bagi mereka kami mempunyai kelebihan menembusi pasaran ini kerana memahami cita rasa dan keperluan kumpulan sasaran dari rantau ini," katanya dalam sesi temu bual e-mel baru-baru ini.

Sepanjang temu bual berlangsung, pasangan berusia sekitar 40-an itu tidak betah melayani persoalan BH walaupun perbezaan masa di New Zealand lebih cepat antara empat hingga lima jam berbanding Malaysia.


SUHAIMI (duduk) memberikan penerangan kepada pelanggannya. - Foto NSTP

Malah, syarikat yang terkenal bagi pengembara Malaysia, Singapura, Brunei dan Australia itu menggunakan kelebihan masa untuk operasi syarikat yang cekap dengan melayan pelanggan di Malaysia pada sebelah petang dan pagi untuk pengurusan tempatan.

Suhaimi berkata, New Zealand adalah antara negara paling mudah untuk memulakan perniagaan kerana tidak banyak halangan daripada kerajaan dan perniagaan boleh didaftarkan di alamat rumah kerana konsep pejabat-rumah sangat terkenal di sana.

Katanya, memandangkan operasi utama Ikhlas Tours lebih kepada perundingan, pentadbiran dan pengurusan pelancongan, maka beliau sekeluarga boleh berniaga dari rumah dengan modal yang sangat kecil di mana saja selagi ada internet dan WiFi.

"New Zealand cukup unik, mereka terbuka untuk kita kenali kehidupan di sana, melihat mereka menjaga atau memelihara alam sekitar, menyaksikan sendiri keindahan alam yang tidak tercemar, kerana itu kami usahakan syarikat ini secara berkongsi pengalaman dengan tetamu.

"Pakej kami berkonsepkan jelajah supaya pengunjung dapat kenali New Zealand secara dekat menerusi pengembaraan sendiri dan produk kami lebih kepada pemanduan menjelajah dan bantuan makanan halal.

"Sebagai ahli TIANZ, kami memiliki hubungan baik dengan pembekal dan agensi pelancongan di New Zealand, ditawarkan harga secara borong untuk bekalkan kenderaan, penginapan, insurans, perbankan, perkhidmatan perakaunan dan sebagainya," katanya.

Menerusi pakej utama iaitu Pakej Kembara & Penginapan, dan Pakej Motothome, Ikhlas Tours kini menerima sambutan tinggi pada musim bunga antara September hingga November ini bagi pakej combo Utara dan Selatan New Zealand bermula dari Auckland, Rotorua sehinggalah ke Christchurch, Queenstown dan Dunedin.

32 dibaca
Berita Harian X