Isnin, 25 April 2016 | 10:13pm

Arab Saudi lancar program selepas umrah

RIYADH: Putera Sultan Salman yang juga Presiden Suruhanjaya bagi Pelancongan dan Warisan Kebangsaan (SCTH) Arab Saudi, melancarkan Program Selepas Umrah, inisiatif yang membenarkan jemaah umrah menukarkan visa mereka kepada visa pelancong.

Program ini adalah saluran utama 'Inisiatif Destinasi Kerajaan Islam' yang dicadangkan oleh suruhanjaya sama, beberapa tahun lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan SPA iaitu agensi berita rasmi Arab Saudi, Putera Sultan berkata program juga bertujuan menyediakan peluang kepada jemaah Umrah melihat mercu tanda negara, tapak bersejarah Islam, destinasi pelancongan menarik dan pusat membeli belah.

Mereka juga difahamkan berpeluang melakukan lawatan kebudayaan, perubatan, pendidikan dan pemasaran selepas melakukan ibadat Umrah.

Beliau menambah, SCTH menjayakan program itu dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Hal Ehwal Luar Negara dan Haji. - Agensi

1275 dibaca
Berita Harian X