Selasa, 26 April 2016 | 12:18am

Berdosa dedah anak bahaya penyakit tanpa vaksin : Mufti


KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang sengaja menolak untuk bayi mereka disuntik vaksin sehingga menyebabkan anak menghadapi risiko penyakit adalah berdosa.

Demikian ditegaskan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang juga ahli Majlis fatwa Kebangsaan.

Beliau berkata tindakan ibu bapa itu boleh membahayakan kesihatan anak-anak dan anak-anak orang lain kerana berpotensi untuk dijangkiti penyakit yang sepatutnya boleh dicegah dengan vaksin.

Katanya, Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 195 bermaksud 'Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan'.

"Jika kita sudah tahu ada penyakit yang boleh membawa kebinasaan seperti batuk kokol, demam campak dan sebagainya, maka kita haruslah bersedia iaitu dengan menyuntik vaksin yang mana ia satu keperluan pada masa ini.

"Golongan yang menolak imunisasi ini berdosa kerana sudah melanggar perintah Tuhan supaya bersedia menghadapi perkara-perkara yang merosakkan atau membinasakan," katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.


SUNTIKAN imunisasi diharuskan dalam Islam kecuali difatwakan sebaliknya. - Foto hiasan

Harussani berkata, oleh kerana penyakit itu berbahaya, maka masyarakat wajib bersedia untuk menghadapi dan menyediakan satu cara bagi berusaha mengelakkan kedatangannya.

Katanya, salah satu daripada cara yang ada kini ialah dengan pengambilan vaksin. Sekiranya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sudah berkata pemberian vaksin ini harus, maka apa lagi yang perlu diragukan.

"Kita (Majlis Fatwa) nak mengeluarkan sesuatu hukum bukan semudah itu, hukum hanya dibuat sekiranya sudah mengancam nyawa dan kesihatan yang bermakna kita berada dalam keadaan darurat.

"Maka apa cara untuk kita mengelakkannya kita mesti lakukan biarpun ia bertentangan dengan hukum. Ia juga bermaksud, selagi tidak ada yang halal, maka boleh pakai yang tidak halal bagi mengelakkan wabak daripada berlaku dalam masyarakat kita, namun tidak boleh melampau," katanya.

Bapa kesal tidak suntik anak


SEBANYAK 28 kes ibu bapa menolak imunisasi kepada anak mereka direkodkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tahun lalu. - Foto hiasan

Keengganan seorang bapa membenarkan anaknya menjalani imunisasi, mengundang padah apabila terpaksa dimasukkan ke dalam wad selepas disyaki dijangkiti penyakit batuk kokol.

Bayi berusia setahun 10 bulan itu bagaimanapun akhirnya berjaya diselamatkan selepas tiga hari menerima rawatan di hospital.

Bapa yang mahu dikenali sebagai Hamid itu, berkata kejadian itu menginsafkan beliau dan terus memberi imunisasi lengkap kepada kedua-dua anaknya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, keputusan tidak mahu memberi imunisasi kepada kedua-dua anaknya sebelum ini kerana dipengaruhi keluarga termasuk ibu dan kakaknya.

"Memang keluarga saya tidak percaya dengan vaksin, sebaliknya lebih percaya kepada rawatan semula jadi atau alami.

"Bagi mereka, pemberian vaksin ini boleh digantikan dengan rawatan lain, malah mereka juga mendakwa ramai yang tidak pernah divaksin tetapi tidak pernah dijangkiti penyakit berbahaya," katanya kepada BH ketika dihubungi, semalam.

Namun, Hamid berkata, pendiriannya berubah selepas anak lelaki keduanya itu dijangkiti batuk kokol menyebabkan dia batuk tidak berhenti-henti.


"RAMAI yang meragui dengan kandungan vaksin, malahan ada yang mengaitkan vaksin sebagai agenda yahudi," - Dr Mohd Syamirullah Rahim

"Saya berasa kasihan dan risau apabila anak saya ini kerap terjaga daripada tidur dan asyik terbatuk. Paling membimbangkan apabila dia batuk sehingga tidak cukup nafas.

"Selepas itu saya terus bawa anak saya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital. Doktor yang memeriksa percaya anak saya dijangkiti dengan penyakit batuk kokol dan terus menahannya di dalam wad," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur apabila anaknya itu dapat diselamatkan dan kini menasihati ibu bapa supaya memberi imunisasi kepada anak mereka.

"Jangan tunggu sehingga anak anda sudah dijangkiti penyakit berbahaya dan menyesal, saya risau itu sudah terlambat.

"Saya juga berharap supaya kisah saya ini dapat menjadi pengajaran kepada ibu bapa lain," katanya.

Sementara itu, sebanyak 28 kes ibu bapa menolak imunisasi kepada anak mereka direkodkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 24 kes berlaku di Kuala Lumpur manakala empat lagi di Putrajaya dengan majoriti yang menolak vaksin adalah berbangsa Melayu.


PAKAR Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Setapak, Dr Zainal Fitri Zakaria. - Foto Abdullah Yusof

Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Setapak, Dr Zainal Fitri Zakaria, berkata ia berikutan peningkatan golongan menolak vaksin berbanding lima atau 10 tahun lalu sehingga menyebabkan ia perlu dipantau dan direkod.

"Alasan yang biasa diberi golongan ini ialah terpengaruh dengan pembacaan di media sosial yang mengatakan vaksin berbahaya, selain ada yang mahu berubat dengan perubatan alternatif.

"Selain itu, ada yang ragu-ragu dengan kandungan vaksin itu sendiri sama ada halal atau tidak, malahan ada yang mengaitkan vaksin sebagai agenda yahudi," katanya.

Dr Zainal Fitri berkata, sebagai contoh, pada tahun ini, sudah 11 kes Measles atau demam campak dikenal pasti berlaku sekitar kawasan perkhidmatan beliau.

Vaksin digunakan sejak Empayar Uthmaniah


"GOLONGAN yang menolak imunisasi ini berdosa kerana sudah melanggar perintah Tuhan supaya bersedia menghadapi perkara-perkara yang merosakkan atau membinasakan," - MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto Shakrul Faiz Shabani

Seorang pengamal perubatan yang giat "menepis" dakwaan kumpulan anti vaksin dalam media sosial, Dr Mohd Syamirullah Rahim, berkata tidak patut timbul isu anti vaksin pada masa ini kerana bahan itu digunakan untuk meningkatkan imunisasi badan sejak 1950-an dan dibuktikan secara klinikal.

Katanya, ia juga dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Di Malaysia, katanya, beberapa jenis vaksin asas yang diberikan secara suntikan kepada bayi seawal usia sebulan bagi menghalang penyakit berbahaya yang memberi kesan jangka panjang seperti jangkitan tubercolosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), polio, measles (campak), mumps (beguk), rubella dan Japanese encephalitis (JE) khusus untuk bayi di Sarawak. 

Katanya, tidak mengambil vaksin akan mendedahkan seseorang dan orang di sekelilingnya kepada bahaya penyakit berjangkit tertentu.

Beliau yang bertugas di sebuah hospital kerajaan berkata ramai yang tidak tahu bahawa penggunaan vaksin sudah bermula beribu tahun lalu sejak tamadun China tetapi 'turning point' adalah  ketika zaman pemerintahan Uthmaniyah di Turki. 

 "Teknologi ini kemudiannya dibawa balik oleh orang Eropah yang kemudiannya mengkaji penghasilan dan penggunaan vaksin sehingga membawa kepada penghasilan vaksin pertama untuk penyakit cacar oleh Edward Jenner.  

"Pada ketika itu, penyakit cacar menjadi satu wabak sangat berbahaya dan mengorbankan banyak nyawa tetapi dengan keberkesanan vaksin berkenaan, wabak itu diisytiharkan pupus sepenuhnya pada tahun 1959," katanya kepada BH. 

Bagaimanapun, apa yang lebih mendorong beliau untuk berjuang ialah kesedihan apabila melihat sendiri kanak-kanak yang menderita kesakitan sedangkan ia boleh dielak jika mendapat suntikan awal vaksin. 

"Ketika menjadi doktor pelatih dan bertugas di hospital daerah di luar bandar, saya melihat banyak kesengsaraan kanak-kanak yang menderita penyakit cacar dan kancing gigi disebabkan keengganan ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin untuk anak mereka. 

"Timbul perasaan marah mengapa ibu bapa sanggup meletakkan kesihatan dan nyawa anak dalam risiko kerana percaya khabar angin yang tidak bersandarkan kepada bukti kukuh daripada sumber yang dipercayai," katanya. 

Penolakan kepada vaksin dalam kalangan ibu bapa, kata Mohd Syamirullah mungkin berpunca daripada situasi selamat atau tidak ada lagi penularan wabak sesuatu penyakit berbahaya seperti campak, cacar atau polio. 

"Jika 20 atau 30 tahun dahulu penolakan vaksin berlaku dalam kalangan masyarakat luar bandar bukan disebabkan mereka tidak mahu, tetapi faktor limitasi yang menyebabkan maklumat tidak sampai kepada mereka selain akses masuk ke kawasan pedalaman yang terhad. 

"Bagaimanapun, hari ini penolakan kerap berlaku dalam kalangan masyarakat kota yang berpendidikan tinggi yang menganggap suntikan vaksin bukanlah satu keperluan lagi," katanya.

Berita Harian X