Selasa, 26 April 2016 | 3:38pm

MPN anjur Separuh Maraton Nilai 15 Mei

NILAI: Majlis Perbandaran Nilai (MPN) akan menganjurkan Separuh Maraton Nilai 2016 di Dataran Nilai di sini pada 15 Mei ini.

Yang Dipertua MPN, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, sebanyak enam kategori iaitu lelaki dewasa, wanita dewasa, lelaki veteran, wanita veteran dan bukan warganegara (terbuka lelaki/wanita dewasa) akan dipertandingkan pada acara itu.

"Larian sejauh 21 kilometer itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 dan medal untuk johan, RM1,200 dan medal (naib johan) serta RM800 dan medal (tempat ketiga).

"Tempat keempat hingga ke-10 masing-masing akan menerima RM200 dan medal, manakala tempat ke-11 hingga 15 akan menerima RM100 dan medal," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata 1,000 peserta pertama yang berjaya menamatkan larian sahaja akan menerima medal.

Katanya pihaknya turut menyediakan 50 unit barangan elektrik kepada pemenang cabutan nombor bertuah pada hari tersebut.

"Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM50 dan tarikh tutup ialah pada pukul 5 petang, Jumaat ini (29 April)," katanya.

Maklumat lanjut mengenai larian itu boleh diperoleh dengan melayari www.mpn.gov.my, mymalaysiaevent2016 dan sport.my. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X