Selasa, 26 April 2016 | 10:42pm

NTP2015: 74 peratus puji pengangkutan awam


TRANSIT aliran ringan (LRT). - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Hasil Tinjauan Kepuasan Pelanggan terhadap pengangkutan awam menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam indeks kepuasan daripada 48 peratus pada 2010 kepada 74 peratus pada 2015.

Mengikut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, tinjauan yang dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2015 mendapati penumpang paling berpuas hati dengan perkhidmatan rel iaitu transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter dan Express Rail Link (ERL).

Laporan NTP itu, yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Angkasapuri di sini, malam ini.

Mmaklum balas menunjukkan bahawa penambahbaikan dalam perkhidmatan rel yang lebih cekap dapat dirasai oleh orang ramai.

"Perkhidmatan rel hari ini adalah alternatif yang lebih murah berbanding pengangkutan persendirian di samping menawarkan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik.

"Satu lagi faktor besar yang menyumbang kepada kepuasan penumpang ialah sistem pertukaran dan sambungan yang mudah antara perkhidmatan rel yang berlainan, melalui sistem penjualan tiket standard iaitu LRT, Monorel dan ERL," kata laporan itu.

Tinjauan Kepuasan Pelanggan terhadap pengangkutan awam itu dijalankan setiap tahun untuk mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam.

Dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama-Pengangkutan Dalam Bandar (NKRA UPT) untuk meningkatkan bahagian mod pengangkutan awam dalam kawasan Greater Kuala Lumpur/Klang Valley (GKL/KV) kepada 40 peratus menjelang 2030, jaringan pengangkutan awam perlu bersepadu, selesa, senang disalinghubungi, mudah digunakan dan murah.

Sepanjang 2015, NKRA UPT menyaksikan penambahan kapasiti yang amat diperlukan kepada perkhidmatan rel sedia ada, di samping pembinaan projek infrastruktur rel berskala besar.

"Projek-projek ini akan mula beroperasi, dengan aliran Projek Sambungan Jajaran LRT (LEP) penuh akan bermula pada pertengahan tahun ini dan juga aliran MRT Lembah Klang yang pertama dijadualkan bermula menjelang akhir tahun 2016," kata laporan itu.

Apabila fasa pertama MRT Lembah Klang laluan Sungai Buloh-Kajang memulakan operasi, penduduk di Lembah Klang yang sentiasa menghadapi kesesakan trafik bakal merasai satu ejen perubahan dalam pengangkutan di kawasan GKL/KV.

Mereka akan mendapat sistem pengangkutan yang bersih, moden, laju dan selesa yang membolehkan mereka melakukan perjalanan dari Sungai Buloh ke Kajang dalam masa 88 minit, kata laporan itu. - BERNAMA

Berita Harian X