Rabu, 27 April 2016 | 2:59pm

Datuk Muhammad Ibrahim dilantik Gabenor Bank Negara

DATUK Muhammad Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei 2016.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan sebentar tadi bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 April ini.

Pelantikan beliau telah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Muhammad, BNM akan meneruskan sumbangannya dalam membantu kerajaan serta memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara," kata Najib dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri juga yakin gabenor baharu itu dapat mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk meneruskan usaha bank pusat membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya.

Jawatan terakhir Muhammad adalah sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, disandang sejak 2010.

Beliau memiliki sijil Sarjana daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di atas segala sumbangan cemerlang beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor BNM yang ketujuh," kata Najib.

Zeti pula dilantik menjadi Gabenor Bank Negara pada Mei 2000 dan beliau juga adalah wanita pertama menyandang jawatan berkenaan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai penganalisis ekonomi Pusat Penyelidikan & Latihan Bank Pusat Asia Tenggara dari tahun 1979 hingga 1984, sebelum dilantik Timbalan Pengurus Jabatan Ekonomi BNM.

Kecemerlangan memimpin Bank Negara membolehkan Zeti mendapat pelbagai pengiktirafan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Berita Harian X