Rabu, 27 April 2016 | 7:20pm

MAHB sasar timbang tara dengan KAF selesai akhir tahun

PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berharap dapat menyelesaikan proses timbang tara bersama anak syarikat Petronas Dagangan Bhd (PDB), Kuala Lumpur Aviation Fuelling System Sdn Bhd (KAF), sebelum akhir tahun ini.

KAF yang sebelum ini diberi konsesi 50 tahun mengendalikan sistem bahan api penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi dikurangkan kepada 25 tahun, menuntut pampasan RM456 juta daripada MAHB bagi tujuan ganti rugi susulan perubahan tempoh konsesi berkenaan.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pihaknya memperakui bahawa PDB sudah melabur 'sejumlah besar perbelanjaan modal' bagi tempoh konsesi asal selama 50 tahun.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk mengurangkan tempoh konsesi berkenaan dibuat sepenuhnya oleh kerajaan.

"Kerajaan yang menstruktur semula perjanjian konsesi terbabit, maka kami perlu meminta semua rakan operasi dan vendor MAHB supaya mengikuti keputusan berkenaan.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi mencapai jalan penyelesaian dengan PDB," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 MAHB di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi MAHB, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Kewangan, Raja Azmi Raja Nazuddin.

MAHB, menerusi anak syarikatnya, Malaysia Airports (Properties) Sdn Bhd memeterai perjanjian konsesi 50 tahun berkenaan bersama KAF pada tahun 2007.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian tempoh konsesi berkenaan dikurangkan kepada 25 tahun susulan perjanjian operasi yang dimeterai antara MAHB dan Kerajaan Persekutuan. Perjanjian konsesi akan berakhir pada 2034.

Badlisham berkata, MAHB berharap supaya tempoh konsesi dapat dilanjutkan kepada perjanjian asal iaitu selama 50 tahun, berbanding terpaksa membayar RM456 juta kepada PDB seperti yang diperincikan di dalam perbicaraan timbang tara.

Katanya, jalan penyelesaian itu adalah lebih baik kerana pelbagai kaedah boleh dilaksanakan bagi 'persetujuan bersama' seperti yang pernah dilaksanakan bersama pembekal lain di lapangan terbang itu.

"Kami akan mencari cara lain untuk menyelesaikan isu ini, jika kedua-dua pihak tidak bersetuju melanjutkan tempoh konsesi itu," katanya.

Sementara itu, Raja Azmi berkata tempoh konsesi yang dipendekkan bermakna PDB kehilangan pendapatan berdasarkan jumlah masa hadapan.

"Buat masa ini, kami tidak melihat sebarang impak material kepada MAHB," katanya.

INFO

* AGM MAHB mengisytiharkan dividen peringkat tunggal akhir 4.50 sen kepada pemegang saham

* Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, MAHB mengumumkan bayaran dividen 4.00 sen yang keseluruhannya berjumlah RM66.4 juta

* Ia sejajar komitmen MAHB untuk membayar dividen sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan

Berita Harian X