Khamis, 28 April 2016 | 11:09am

3 aspek banteras pemerdagangan manusia

PEMERDAGANGAN manusia adalah masalah global yang sangat kompleks dan membimbangkan. Jenayah ini adalah satu bentuk ancaman terhadap pencabulan hak asasi manusia dan merentasi sempadan.

Kajian menunjukkan bahawa perniagaan manusia adalah satu industri jenayah yang paling lumayan membabitkan AS$1 bilion (RM3.93 bilion) setahun. Mangsa jenayah ini pula terdiri daripada orang dewasa, wanita dan kanak kanak dijual untuk pasaran seks, buruh paksa dan hamba. Malah, kegiatan ini adalah perhambaan moden.

Jauh pemikiran P Ramlee dalam cerita Tiga Abdul dialog yang disampaikan oleh Husien Lempoyang yang mengatakan bahawa menjual manusia lebih untung daripada unta! Pun begitu didapati isu sosioekonomi, tidak berpendidikan, wanita lari dari rumah, negara yang tidak aman, menghadapi peperangan dan pergolakan politik, sangat mudah diperdaya serta dieksploitasikan.

Salah satu modus operandi yang dilaksanakan oleh penjenayah pemerdagangan manusia dengan menggunakan orang tempatan untuk mengenal pasti keluarga yang terdesak dan boleh dipengaruhi.

Ejen tabur janji manis

Di beberapa negara miskin, ada ibu bapa atau keluarga terdekat yang menjual anak kepada penjenayah. Selain itu, ada juga ejen yang tidak bertanggungjawab menabur janji manis kononnya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dengan gaji lumayan di luar negara.

Mereka sanggup merantau mencari rezeki untuk membantu keluarga yang sangat miskin. Ada kala penjenayah sengaja beri hutang kepada keluarga miskin dengan harapan mereka tidak dapat melunaskan hutang dan anak mereka diambil untuk dijadikan hamba seks atau dijual sebagai pelacur.

Pelbagai usaha dijalankan untuk mengurangkan masalah pemerdagangan manusia. Tindakan diambil untuk mempertingkat kawalan, kerjasama antara agensi penguat kuasa, berkongsi maklumat secara terlaras dengan negara jiran dan bekerjasama dengan orang awam.

Dalam usaha menangani ini, pada bulan Mei tahun lalu, polis juga menemui 159 kubur mangsa dan kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand. Penemuan ini telah menjurus kepada pembabitan beberapa sindiket.

Dalam pada itu, polis mengenal pasti tujuh sindiket pemerdagangan manusia yang aktif di utara tanah air membabitkan warga Malaysia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh. Siasatan menunjukkan bahawa ia membabitkan empat sindiket pemerdagangan manusia yang mempunyai 20 rangkaian aktif di Perlis dan tiga sindiket yang ada 17 rangkaian aktif di Kedah.

Pada Disember lalu, polis mengenal pasti enam dalang negara jiran terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis. Kerajaan Malaysia juga bekerjasama dengan Thailand untuk memastikan dalang sindiket itu diadili di mahkamah Malaysia.

Jika diimbas kembali, pada bulan Mac lalu, polis berjaya menahan tiga individu yang disyaki terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang. Dengan tertangkapnya tiga individu itu, polis berjaya menyelamatkan 17 warga asing mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Letak sasaran pada Tahap Satu

Dari segi pengiktirafan antarabangsa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Malaysia meletakkan sasaran mahu berada pada Tahap Satu dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP), Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai antipemerdagangan manusia dan antipenyeludupan migran menjelang tahun 2020. Ketika ini Malaysia berada pada Tahap Dua, lebih baik daripada tahun sebelumnya dalam laporan berkenaan tetapi usaha sedang dilakukan bagi memperbaiki kedudukan seterusnya.

Antara negara yang berada di Tahap Pertama ialah Kanada, Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat dan New Zealand. Tahap kedua ialah Malaysia, Indonesia, Jepun dan Singapura manakala Thailand, Mesir, Selatan Sudan dan Burundi di Tahap ketiga.

TIP adalah senarai kedudukan berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia dan penilaian dilaksanakan setiap tahun oleh JNAS. Untuk mendapat Tahap Satu, sesebuah negara perlu mengaplikasi sepenuhnya Akta Pemerdagangan Perlindungan Mangsa (TVPA) Amerika Syarikat mengikut standard minimum, manakala Tahap Dua bagi negara yang tidak mengaplikasi sepenuhnya TVPA mengikut standard minimum tetapi mempunyai usaha untuk memenuhi syarat yang ditetapkan. Manakala, Tahap Tiga pula, kegagalan untuk mematuhi TVPA sepenuhnya standard minimum bagi penghapusan pemerdagangan manusia.

Malaysia perlu kekal dan berusaha gigih untuk mematuhi standard minimum ke arah membanteras pemerdagangan manusia. Aktiviti jenayah ini mempunyai jaringan dan sindiket antarabangsa ia patut diatasi secara holistik dan juga beri tekanan kepada tiga aspek utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan untuk terus memperbaiki dan naik ke tahap lebih tinggi. Jika tidak dibanteras dengan baik jenayah ini boleh jejas nama baik negara di mata dunia.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP

184 dibaca
Berita Harian X