Jumaat, 29 April 2016 | 10:50pm

Chia pendahulu, cuaca jejas PGM Palm Resort

PEMAIN golf negara, Danny Chia. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Pemain utama negara, Danny Chia mencatat lapan bawah par 64 untuk memiliki kelebihan dua pukulan pada pertengahan saingan Kejohanan Golf PGM Palm Resort yang dipendekkan kepada 54 lubang.

Pegawai kejohanan terpaksa memendekkan saingan berikutan masalah cuaca yang menjejaskan aksi sehingga memutuskan saingan pusingan ketiga dan terakhir diadakan esok mulai pukul 7.30 pagi.

Chia, 43, yang beraksi pagi ini untuk menamatkan permainan pusingan keduanya, menampilkan aksi cemerlang bagi melakukan lapan birdie untuk mengumpulkan 14 bawah par 130 di Kelab Golf & Country Palm Resort di Senai, Johor.

Pemenang tiga kali Jelajah Pembangunan Asia (ADT) itu gembira menerajui kejohanan ini selepas gagal melepasi 'cut' di Jepun dalam siri Jelajah Asia, minggu lalu.

"Saya bermain dengan baik ketika menyambung aksi hari ini. Lapangan ini membolehkan catatan yang baik dan saya dapat mengambil kelebihan itu.

"Ia memang sesuatu yang baik jika bermain tanpa melakukan bogey. Saya bermain dengan konsisten kali ini dan ia adalah petanda yang positif," kata Chia seperti dipetik dalam laman web ADT www.asiandevelopmenttour.com.

Chia akan memulakan pusingan ketiga dan terakhir pertandingan dengan kelebihan dua pukulan di depan pemain Sweden, Oscar Zetterwall yang menjuarai kejohanan di Filipina, minggu lalu.

Kedudukan pusingan kedua:

130 - Danny Chia (MAS) 66-64;

132 - Oscar Zetterwall (SWE) 67-65;

133 - Jakraphan Premsirigorn (THA) 65-68, Sutijet Kooratanapisan (THA) 65-68;

134 - Suradit Yongcharoenchai (THA) 70-64;

135 - Donlaphatchai Niyomchon (THA) 68-67, Panuwat Muenlek (THA) 68-67;

136 - Pavit Tangkamolprasert (THA) 68-68, Koh Deng Shan (SIN) 67-69;

137 - Nirun Sae-Ueng (THA) 69-68, Mohd Iylia Jamil (MAS) 67-70, Kim Chanwoo (KOR) 69-68, Aung Ye Htet (MYA) 68-69;

138 - Wisut Artjanawat (THA) 69-69, Itthipat Buranatanyarat (THA) 68-70, Mathiam Keyser (RSA) 69-69;

139 - Gavin Kyle Green (MAS) 73-66, Khor Kheng Hwai (MAS) 72-67, Thammanoon Sriroj (THA) 69-70, Nicolas Paez (USA) 69-70. - BERNAMA

Berita Harian X