Sabtu, 30 April 2016 | 12:31am
PENGARAH Perhutanan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), Awang Shaffie Awang Ahmadni ketika memberi penerangan berkenaan Hutan Simpan Bukit Nanas. - Foto Sairien Nafis
PELANCONG menikmati kehijauan alam di Hutan Simpan Bukit Nanas. - Foto Sairien Nafis
HUTAN Simpan Sungei Puteh. - Foto Sairien Nafis
SEBAHAGIAN daripada Hutan Simpan Kekal (IMPAN Bukit Sungei Puteh yang bakal terbabit dengan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Hutan Simpan Sungei Puteh. - Foto Sairien Nafis

Pertahankan hutan simpan terakhir Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR: Ketika rakyat kini resah dengan bahang fenomena El-Nino, hutan simpan kekal (HSK) sekitar ibu kota yang berfungsi mengawal mikro iklim setempat selama ini, kian diancam kemusnahan akibat rancangan pembangunan.

Meskipun HSK yang dibangunkan sekitar ibu kota belum diganti, sedikit baki kawasan Hutan Bukit Sungei Puteh seluas 14.5 hektar bernilai lebih RM300 juta dekat Cheras di sini, juga dijangka lenyap daripada peta negara.

Pada tahun 2014, kerajaan menerima permohonan pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang pembinaannya bermula Jun ini, bakal mengorbankan kawasan seluas 4.1 hektar hutan terbabit.

Melihat kepada potensi pasaran hartanah susulan pembinaan laluan SUKE di situ, sumber memberitahu BH, pada tahun lalu sebuah syarikat mengemukakan permohonan membeli dan memajukan baki hutan simpan kekal terbabit.

Sejak diwartakan sebagai HSK pada 1933, hakikatnya hutan Bukit Sungei Puteh menjadi korban pembangunan secara berterusan, apabila keluasan asalnya 40 hektar, kini menyusut kepada 14.51 hektar tanpa diganti.

Hutan itu juga diwartakan sebagai santuari burung mengikut Enakmen Perlindungan Binatang dan Burung Liar 1925 oleh Kerajaan Selangor pada 1931.


ANTARA pembangunan di Kuala Lumpur yang dapat dilihat dari dalam Hutan Simpan Bukit Nanas. - Foto Sairien Nafis


ANTARA bahagian hutan yang dicadangkan untuk pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi - Ulu Kelang Exsperssway (SUKE) di Hutan Simpan Sungei Puteh. - Foto Sairien Nafis

Selain hutan Sungei Bukit Puteh, HSK Bukit Nanas dengan keluasan berbaki 9.37 hektar, turut diintai pelbagai pihak yang mengemukakan kertas cadangan membeli atau menyewanya daripada kerajaan, dengan tawaran mengambil alih hak penjagaan.

Sumber sama, mendedahkan ada syarikat memohon membina resort mewah di Bukit Nanas, yang disifatkan lokasi strategik kerana kedudukan di tengah ibu kota dengan menawarkan harga pembelian kira-kira RM500 juta.

Pakar Biologi yang juga Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, menggesa Jabatan Perhutanan tidak menyokong sebarang rancangan pembangunan HSK sekitar ibu kota kerana bakal melenyapkan hutan tanah pamah bernilai tinggi yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Namun pakar terbabit melihat jabatan itu tidak berupaya menghalang kerakusan projek pembangunan memamah HSK sekitar Kuala Lumpur, jika ia diluluskan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ketika ini, empat HSK sekitar Kuala Lumpur iaitu Bukit Sungei Puteh; Bukit Nanas; Bukit Lagong dan Sungai Besi, berfungsi sebagai kawasan hijau yang mengawal mikro iklim setempat, selain menjalankan fungsi dalam kitaran karbon dioksida dan membekalkan oksigen.

Ketika diwartakan, empat kawasan HSK itu asalnya seluas 106.1 hektar tetapi pembangunan yang diluluskan kerajaan, menyaksikan ia kini menyusut kepada 68.27 hektar.


PENGARAH Perhutanan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), Awang Shaffie Awang Ahmadni (kiri) berbincang bersama staff di Hutan Simpan Sungei Puteh. - Foto Sairien Nafis


PEMANDANGAN Hutan Simpan Bukit Nanas yang dihimpit pembangunan di Menara Kuala Lumpur.- Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Mengikut Seksyen 11, Akta Perhutanan Negara 1984, sebarang kawasan HSK diluluskan untuk pembangunan perlu diganti semula pihak berkuasa negeri.

Namun penyusutan HSK sebanyak 38 hektar yang dialami Kuala Lumpur selama ini, membuktikan peruntukan undang-undang yang termaktub itu gagal dipatuhi kerajaan.

Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Awang Shaffie Awang Ahmadni, ketika diminta mengulas isu pembangunan HSK yang dibangkitkan BH, mengakui sebarang usaha yang menyebabkan hutan musnah adalah kerugian besar kepada negara, khususnya ibu kota.

"Bukit Sungei Puteh adalah hutan tanah pamah yang hampir pupus. Di negara kita, banyak hutan jenis ini sudah hilang akibat pembangunan. Baki yang kebanyakannya berada di bahagian hulu iaitu hutan jenis bukit, tanah tinggi dan gunung.

"Pembangunan hutan Bukit Sungei Puteh jika dilaksanakan, akan mengecilkan lagi hutan simpan kekal di Kuala Lumpur. Dulu kita ada 106 hektar tetapi kini merosot kepada 68.27 hektar iaitu hanya 0.2 peratus daripada luas keseluruhan ibu negara.

"Semua hutan yang ada sentiasa diintai pembangunan. Malah, Hutan Simpan Bukit Nanas yang diwartakan pada 1906, sudah menyusut daripada 17 hektar kepada hanya 9.37 hektar ketika ini," akuinya yang risau dengan masa depan HSK sekitar Kuala Lumpur.

 

Berita Harian X