KUALA LUMPUR: Kebakaran kabel elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah Jambatan Pulau Indah, Pelabuhan Klang, 5.30 pagi Khamis disyaki akibat perbuatan vandalism.
TNB dalam satu kenyataan berkata, walaupun siasatan penuh masih dijalankan, siasatan awal mendapati ia berpunca vandalisme.
Gangguan bekalan hanya sementara kerana pihak TNB mampu menyalurkan bekalan tenaga alternatif di kawasan terjejas kebakaran.
Mengikut kenyataan itu lagi, api dapat dikawal sepenuhnya dan TNB serta bomba masih berada di tempat kejadian untuk memantau keadaan.
Semalam, akhbar melaporkan, Jambatan Pulau Indah masih ditutup kepada pengguna berikutan pemeriksaan terhadap kabel elektrik TNB di bawah jambatan itu yang terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran kabel itu kira-kira 10 malam semalam, namun pemeriksaan menyeluruh terhadap kabel sedang dilakukan Jabatan Kerja Raya.
Pengguna diminta supaya menggunakan jalan alternatif berikutan kabel TNB bervoltan tinggi 33 kilovolt di tengah jambatan berkenaan terbakar.
Laluan di kedua-dua arah di atas jambatan ditutup kepada lalu lintas kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam dan trafik dari Pulau Indah terpaksa dialihkan ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).