Sabtu, 30 April 2016 | 7:35am
PENYOKONG bolasepak pasukan JDT dan Kedah mula beratur sejak petang tadi untuk membeli tiket bagi menyaksikan JDT bertemu Kedah pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2016 walaupun tiket bola akan di jual pada penyokong esok (Jumaat) bermula jam 8.30pagi di Stadium Larkin Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Piala FA: Kedah tak gentar reputasi hebat JDT

ALOR SETAR: Kedah mengakui tidak gentar untuk turun ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam ini, walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika ini gah melaungkan hasrat mahu membenam Helang Merah.

Ketiadaan beberapa tonggak khususnya di barisan tengah bukan alasan kerana kekuatan Kedah sebagai sebuah pasukan sedia terbukti untuk memberikan tentangan kepada JDT yang akan beraksi di hadapan paluan suara penyokong Harimau Selatan.

Bagi ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, anak didiknya tidak perlu risau dengan tekanan yang menunggu mereka di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, selagi corak permainan 'ala Kedah' dapat ditampilkan 100 peratus.

"Saya sudah ingatkan semua anak didik saya supaya mengelak terkesan dengan sebarang serangan bersifat provokasi dan ancaman serta helah psikologi yang pasti akan menjadi senjata pihak lawan...sekali terpengaruh, ia pasti akan melemahkan mental dan emosi ketika beraksi menentang JDT.

"Kita sudah buktikan kemampuan kita di Stadium Darul Aman dan JDT sendiri tahu kekuatan kita...jika kita terus konsisten dan kekalkan rentak, tidak mustahil kejayaan di Kedah dapat diulangi di Johor," katanya.

 

Kedah berdepan tugas berat untuk melayan JDT dalam aksi kedua separuh akhir Piala FA selepas dua pemain tengahnya tidak dapat diturunkan.

Selain Liridon Krasniqi, ketiadaan Amirul Hisyam Awang Kecik turut dikhuatiri boleh merencatkan percaturan Kedah terutama di bahagian tengah yang kini terpaksa bergantung harap kepada Baddrol Bakhtiar sebagai pengemudi.

Cheng Hoe mengakui bekalan dua gol berbalas satu belum selesa buat Kedah dan mereka harus berwaspada kerana JDT pasti akan mempertaruhkan kesebelasan terbaiknya untuk memburu kemenangan.

"Dari segi ketiadaan Krasniqi dan Amirul Hisyam, kita sudah atasi kekurangan itu dan kita juga akan pastikan barisan pemain yang diturunkan mampu menterjemah kekuatan Kedah sebagai satu pasukan," katanya.

131 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »