Sabtu, 30 April 2016 | 12:26pm

Batman, Kamen Raider, Naruto lari 5km

ANTARA peserta yang menyertai 'Cosplay Run 2016' di Taman Wetland, Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Lebih 500 peserta dengan sebahagiannya memakai kostum watak adiwira dan anime menyertai 'Cosplay Run 2016', acara larian sejauh lima kilometer yang seumpamanya diadakan di negara ini.

Acara diadakan di Taman Wetland di sini yang bermula jam 7 pagi tadi itu menghimpunkan pelbagai watak popular seperti Batman, Kamen Raider, Storm Trooper dan Naruto yang memerlukan mereka berlari, berbanding hanya mengadakan pertemuan dalam komuniti mereka sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Project Studio Sdn Bhd, Fahmi Moshi, berkata acara itu bertujuan mengumpulkan peminat watak adiwira, anime dan kartun dalam satu aktiviti kecergasan, selain menjadi platform kepada mereka bertukar pandangan dan memperaga kostum masing-masing.

"Kami terfikir melakukan sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Banyak acara larian dilakukan di negara ini tapi selalunya mereka akan tamatkan larian, mendapat pingat dan pulang ke rumah.

"Jadi kami fikir, apa kata peserta bertukar pandangan, contohnya mengenai budaya Jepun, seni dan kraf sesama mereka. Bagaimana pula jika peminat watak filem dan anime ini berlari, berbanding hanya berkumpul dan menghadiri pameran?

"Maka, kami cuba membuat 'eksperimen' ini dan mula membuka penyertaan pada awal bulan ini melalui laman Facebook. Kami sama sekali tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang peserta, Nurul Amar Othman, 30, yang memakai kostum perisai Batman berkata, beliau mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menyiapkan kostum itu menggunakan bahan polimer 'Eva foam' dengan kos kira-kira RM500.

"Saya memang meminati bidang 'cosplay' sejak dua tahun lalu dan ada membuat kostum sebegini untuk watak adiwira lain seperti Storm Trooper dan Iron Man. Memang agak sukar sebenarnya untuk berlari dengan kostum seperti ini tetapi saya tetap mahu mencubanya," katanya yang juga pekerja penyelenggara dari Pasir Gudang, Johor.

Peserta, Mohd Azhari Hassan, 37, yang mengenakan kostum 'Storm Trooper', berkata beliau sudah beberapa kali mengenakan kostum itu untuk menyertai acara larian.

"Saya meminati banyak watak filem serta adiwira dan ini adalah kali pertama saya menyertai larian dengan memakai kostum secara beramai-ramai," katanya.

Berita Harian X