Sabtu, 30 April 2016 | 3:31pm

Tiga maut nahas ngeri di Tanah Merah


KEADAAN kereta jenis Honda Civic yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, Tanah Merah, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

TANAH MERAH: Tiga lelaki maut dan tiga wanita parah dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.4 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda Civic dinaiki lima rakan yang dalam perjalanan dari Tanah Merah menghala ke Pasir Mas, hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Pada masa sama sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki dari arah Pasir Mas menuju Tanah Merah melanggar bahagian kiri kereta terbabit.

Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira, Tan Hok Sun, 28, maut di lokasi kejadian manakala dua lagi lelaki iaitu pemandu Honda Civic, Mohd Alif Amani Mohd, 20, dan penumpang, Muhammad Salihin Yasar, 17, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM).

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, tiga lagi wanita penumpang kereta Honda Civic yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X