Sabtu, 30 April 2016 | 7:53pm

RM56 juta kerugian hasil padi di Kerian akibat El Nino


TAJUDDIN (empat kanan) meninjau keadaan sawah padi terjejas akibat kekurangan bekalan air di Kampung Dew, Selinsing. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Fenomena El Nino menyebabkan kerugian hasil padi di daerah Kerian kira-kira RM56 juta, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, kawasan terjejas seluas 8,097 hektar daripada keseluruhan 21,108 hektar sawah di daerah itu manakala pesawah terjejas seramai 3,175 daripada 8,237 pesawah seluruh Kerian.

Katanya, selain di Perak, pihak kementerian sedang mengumpulkan maklumat mengenai keseluruhan kawasan padi yang terjejas di seluruh negara termasuk turun padang ke kawasan penanaman padi di Kedah dan Perlis bagi meninjau dan mendapatkan gambaran menyeluruh masalah itu, walaupun keadaan di kedua-dua negeri utara itu tidak seteruk di Kerian.

"Pihak kementerian mengakui tidak mempunyai peruntukan khas bagi menangani masalah ini (pampasan hasil padi) kerana bencana kemarau kali ini tidak dijangka.

"Namun, kami sedang mendapatkan butiran lanjut kawasan padi terjejas di seluruh negara dan akan mempertimbangkan pemberian bentuk bantuan bersesuaian kepada petani yang terjejas," katanya kepada pemberita ketika melawat ke kawasan penanaman padi di Kampung Dew di sini hari ini.

Penanaman padi di kawasan terjejas iaitu Selinsing dan Semanggol terpaksa ditangguhkan berikutan pemberhentian bekalan air ke sawah berikutan paras Empangan Bukit Merah mencapai tahap kritikal.

Berita Harian X