Isnin, 2 Mei 2016 | 12:00am

Meja sekolah boleh laras ikut keselesaan

INOVASI Dr Yee Guan dapat membantu pelajar menghindari risiko sakit otot dan tulang belakang. - Foto Saifullizan Tamadi.
INOVASI Dr Yee Guan dapat membantu pelajar menghindari risiko sakit otot dan tulang belakang. - Foto Saifullizan Tamadi.

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta meja sekolah boleh laras yang dapat membantu pelajar menghindari risiko sakit otot dan tulang belakang.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Dr Ng Yee Guan, berkata inovasi itu memudahkan pelajar melaras meja pada ketinggian antara 15 hingga 30 darjah bergantung kepada keselesaan masing-masing, sekali gus membantu proses pembelajaran lebih berkesan di dalam kelas.

Dalam konteks berkaitan, beliau berkata, pemerhatian dan hasil kajian mendapati sakit tulang belakang serta otot antara lain berpunca daripada aktiviti dilakukan sejak peringkat umur kanak-kanak, termasuk di sekolah.

"Kedudukan meja pada paras tidak betul boleh mempengaruhi keadaan otot dan tulang belakang sehingga mengakibatkan kesakitan pada bahagian terbabit, malah gejala itu dikhuatiri menjadi serius dalam jangka panjang," katanya ketika ditemui pada pameran Hari Terbuka Inovasi UPM di sini, baru-baru ini.

Ruang khas

Seperkara menarik, Dr Yee Guan berkata, penghasilan meja itu turut dilengkapi kerusi yang mempunyai ruang khas di bahagian bawah bagi pelajar meletak beg sekolah dan secara langsung dapat menjimatkan ruang.

Beliau berkata, hasil penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 2008 itu berjaya dipatenkan pada tahun 2014 dengan usaha bersama Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Limkokwing University Of Creative Technology.

"Reka cipta itu didapati bersesuaian selepas soal selidik dijalankan ke atas 843 murid di 10 sekolah rendah sekitar Selangor, Pahang, Johor dan Perak," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X