Isnin, 2 Mei 2016 | 9:55am

Trump kecam Clinton, Cruz menjelang pemilihan Indiana

CALON presiden daripada parti Republikan, Donald Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Calon presiden daripada parti Republikan, Donald Trump, menyelar keras pencabarnya, Ted Cruz dan calon Demokrat, Hillary Clinton, dua hari menjelang pemilihan di Indiana yang dikatakan akan menentukan pemenang pencalonan partinya.

Tinjauan pendapat baru menjelang pengundian pada Selasa meletakkan beliau jauh meninggalkan Cruz, yang berharap negeri di Midwest itu akan bertindak sebagai penghalang Trump.

Bercakap kepada 'Fox News Sunday', Trump memberi tumpuan mengecam Clinton, menggandakan kenyataannya yang dikritik ramai bahawa calon Demokrat itu menarik perhatian pengundian atas dasar jantinanya.

"Beliau melakukan kerja yang teruk malah wanita sendiri tidak menyukainya. Namun ia tarikan seorang wanita dan beliau menggunakannya.

"Saya akan memberitahu anda dalam enam bulan sama ada Clinton boleh melakukannya dengan baik tetapi saya tidak fikir begitu. Jika beliau bukan wanita, beliau tiada dalam persaingan ini," katanya.

Cliton menyangkal kenyataan itu di saluran CNN.

"Saya sudah banyak pengalaman berurusan dengan lelaki yang kadang-kadang tidak tahu cara bersikap dan bercakap dengan baik.

"Keadaan itu amat mengganggu," katanya. - AFP

Berita Harian X