Selasa, 3 Mei 2016 | 1:27am
PEMANDANGAN Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas yang dihimpit pembangunan di Menara Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
CANOPY Walk di Hutan Simpan Bukit Nanas. - Foto Sairien Nafis
PINTU masuk Hutan Simpan Bukit Nanas. - Foto Mohamad Badri Saali

KSN janji pertahan hutan ibu kota


KUALA LUMPUR: Hutan Simpan Kekal (HSK) sekitar ibu negara yang kini berbaki kira-kira 68 hektar, akan dipertahankan daripada ancaman pembangunan pada masa depan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, memberi jaminan untuk tidak memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak memajukan baki kawasan terbabit yang sudah diwartakan sebagai HSK.

Masa sama, beliau berkata, Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) akan diarah mengemukakan laporan berhubung rizab HSK sekitar Kuala Lumpur yang sudah dibangunkan tetapi gagal diganti mengikut undang-undang.

"Apa juga (status) tanah, sama ada hutan kekal atau lain-lain rizab perlu dimaklumkan kepada PTG (Pejabat Tanah Galian), proses kelulusannya adalah di bawah ketua pengarah (KPTG).

"Buat masa ini, saya belum lagi menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan hutan terbabit (HSK Bukit Sungei Puteh dan Bukit Nanas).

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Edmund Samunting

"Status tanah dua kawasan itu perlu diperiksa terlebih dahulu, jika berstatus hutan kekal, memang (pembangunan) tidak akan diluluskan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas pendedahan bersiri BH sejak Sabtu lalu, berhubung baki HSK sekitar Kuala Lumpur seluas 68.27 hektar khususnya sekitar Bukit Sungai Puteh dan Bukit Nanas, yang diintai pemaju untuk dibangunkan dengan projek pembangunan bercampur dan resort mewah.

Masa sama, hampir 38 hektar daripada 106.1 hektar kawasan HSK di Kuala Lumpur diluluskan kerajaan bagi tujuan pembangunan tidak pernah diganti, sedangkan Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara 1984 menyatakan HSK yang diluluskan untuk pembangunan, perlu diganti semula oleh pihak berkuasa negeri.

Masa sama, Ali menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiada kaitan dengan kelulusan pembangunan HSK, sebaliknya adalah di bawah tanggungjawab KPTG sepenuhnya.

Semantara itu, berkuat kuasa serta merta, setiap pengambilan dan pembangunan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh negara, perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

HUTAN simpan kekal Bukit Sungei Puteh dekat Cheras kini diancam pembangunan selepas sebahagiannya diluluskan untuk pembinaan lebuh raya. - Foto Sairien Nafis

Ini berikutan sejumlah 86,000 hektar kawasan HSK yang sudah diambil bagi tujuan pembangunan sejak 1960-an, hingga kini gagal diganti sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan 1984, kerajaan dibenar mengambil dan membangunkan HSK tetapi Seksyen 12 akta sama mengarahkan kawasan diganti.

Beliau berkata, majoriti HSK diambil syarikat utiliti, Jabatan Kerja Raya dan kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan infrastruktur asas termasuk membina empangan hidroelektrik.

"Saya memang sedih melihat banyak HSK negara dikeluarkan dari status gazet, bagi tujuan pembangunan tanpa digantikan dengan kawasan lain seperti ditetapkan.

BAKI Hutan Simpan Kekal Bukit Sungei Puteh kini diintai pemaju untuk pembangunan bercampur. Foto Sairien Nafis

"Saya akan mengarahkan semua pembangunan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan lain dirujuk kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar terlebih dahulu dan perkara ini akan dimaklumkan kepada Majlis Tanah Negara dengan segera," katanya ketika dihubungi BH semalam.

Wan Junaidi berkata, isu itu turut dibincangkan ketika mesyuarat kementeriannya baru-baru ini dan pihaknya meminta sedaya upaya agar semua pembangunan HSK dielakkan.

"Kita sudah berbincang bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad agar tiada lagi tanah hutan simpan kekal diambil.

"Langkah ini diambil bagi memastikan komitmen Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengekalkan 50 peratus kawasan hutan negara dipatuhi," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta semua pihak terutama kerajaan negeri mempertahankan semua HSK yang masih dimiliki negara termasuk kawasan tadahan hujan demi kepentingan masa hadapan.

Berita Harian X