Selasa, 3 Mei 2016 | 10:06am

Inovasi lonjak jualan tudung

TUDUNG menjadi antara pakaian bagi wanita di seluruh dunia sama ada bagi memenuhi tuntutan agama, mahu pun sebagai mengikuti perkembangan fesyen.

Justeru, tidak menghairankan apabila industri penjualan tudung mampu mencatatkan pertumbuhan sangat memberangsangkan serta mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Tidak ketinggalan di Malaysia, apabila ada dalam kalangan rakyat negara ini muncul sebagai jutawan segera, malah boleh membina empayar perniagaan sendiri hanya menerusi penjualan tudung.

Permintaannya semakin meningkat dari semasa ke semasa. Malah, kemunculan 'tudung segera' dan 'pasang siap' menjadi fenomena baharu dalam industri tudung di Malaysia.

Inovasi yang diterapkan dalam kalangan usahawan tudung di negara ini menjana pulangan lumayan, memberi impak besar terhadap fesyen tudung sedia ada.

Antara usahawan tudung berjaya di negara ini ialah Nur Azleen Soliha Abdul Waris, pemilik syarikat Sofris Hijab Sdn Bhd (SHSB) pengeluar dan pengedar tudung menerusi jenama Scarfbucks dan iBawal.

Menggunakan medium media sosial sebagai kaedah pemasaran, Scarfbucks, iaitu hijab pertama menggunakan pembungkusan dalam cawan, dilancarkan pada Ogos tahun lalu menerusi koleksi Tiffany dan setakat ini 11,000 helai dijual.

Koleksi keduanya, Lucia dijual sebanyak 10,000, manakala koleksi Alda Frappe terjual sebanyak 12,000 helai hanya dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, bagi jenama iBawal yang memasuki pasaran sejak November lalu, terjual sebanyak 15,000 helai dalam tempoh dua bulan.

Dalam pertemuan dengan BH, baru-baru ini, Nur Azleen yang juga Ketua Pegawai Kewangan SHSB berkata, syarikatnya mengukuhkan jenama menerusi aktiviti promosi dan pengiklanan, selain melalui khidmat stokis dan ejen.

"Namun, kami tidak mengetepikan keupayaan media sosial Facebook dan Instagram yang membuka peluang lebih banyak kepada orang ramai untuk mengenali produk kami.

"Setakat ini syarikat kami mempunyai 232 stokis dan ejen bagi tudung Scarfbucks serta 181 bagi tudung iBawal. Kami berusaha untuk menggandakan jumlah itu kepada lebih 500 stokis pada tahun ini.

"Selain itu, kami menyasar untuk meningkatkan pengikut Facebook dan Instagram kepada 50,000 orang bagi kedua-dua laman sosial itu," katanya.

Berita Harian X