Selasa, 3 Mei 2016 | 2:38pm

MV Mega Bakti sertai PR16 di Korea Selatan


KAPAL penyelamat Submarine Escape and Rescue (SMER) MV Mega Bakti.

KOTA KINABALU: Buat kali pertama, kapal penyelamat Submarine Escape and Rescue (SMER) MV Mega Bakti milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai Eksesais Pacific Reach 2016 (PR16) di Jinhae, Korea Selatan pada 23 Mei hingga 3 Jun ini.

PR16 adalah program latihan pengendali kapal selam membabitkan negara Asia Pasifik setiap tiga tahun dan ini kali pertama MV Mega Bakti menyertainya selepas berperanan sebagai pemerhati sebelum ini.

Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob, berkata MV Mega Bakti diberi tanggungjawab dan berfungsi sebagai platform sistem menyelamat kapal selam Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS).

"Ia perkembangan positif bagi TLDM yang mana sebelum ini hanya dijemput menjadi pemerhati eksesais membabitkan negara pengendali kapal selam," katanya pada majlis Pelepasan Tali Kapal Mencari dan Menyelamat Kapal Selam Mega Bakti di sini, sebentar tadi.

Abdul Rahman berkata, seramai 12 pegawai dan anggota TLDM serta 30 kru kapal MV Mega Bakti menyertai eksesais itu yang dijangka tiba di Jinhae pada 11 Mei dan kembali ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 21 Jun depan.

"Pemilihan ini sebagai latihan kepada TLDM khususnya kru kapal penyelamat kapal selam MV Mega Bakti untuk berdepan dengan kecemasan membabitkan operasi kapal selam," katanya.

Beliau berkata, eksesais itu dapat menyediakan TLDM melakukan operasi menyelamat kapal selam milik negara lain sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan berhampiran perairan negara.

Katanya, pemilihan MV Mega Bakti menyertai PR16 menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia.

Berita Harian X