Selasa, 3 Mei 2016 | 2:57pm

JDT II enggan bazir peluang malam ini

JOHOR BAHRU: Pertembungan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dengan UiTM FC pada saingan Liga Perdana di sini, malam ini amat penting dalam usaha memburu slot dalam kelompok lima pasukan terbaik ke saingan Piala Malaysia.

Justeru, pengendali skuad Merah Biru, Benjamin Mora, mengharapkan Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) mampu memberi tuah kepada mereka bagi menjelmakan kemenangan berharga buat pasukan itu.

Pengendali dari Mexico itu berkata, pada masa ini kedudukan mata membabitkan PKNS FC, Kuantan FA dan DRB-Hicom rapat dan jika JDT II gagal meraih kemenangan, malam ini ia pasti menyukarkan laluan ke saingan piala berprestij itu.

"Himpunan mata antara kami dan tiga lagi pasukan tampak begitu rapat. Justeru, kami tidak boleh hilang mata. Malah kesempatan beraksi di halaman sendiri harus digunakan sepenuhnya untuk mencatat kemenangan.

"Kita tahu kekuatan UiTM FC yang memiliki barisan pemain seimbang dan mampu melakar kejutan jika kami leka. Saya mahu pemain tidak mudah hilang tumpuan sehingga tamat perlawanan.

"Saya optimis kesebelasan pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan itu nanti mampu menggalas tugas yang dipikul dan tidak terikut-ikut dengan helah pasukan lawan," katanya.

Mengenai status kecederaan Paulo Rangel yang tampak semakin pulih, Mora belum ada kepastian sama ada penyerang JDT II akan diturunkan atau sebaliknya dan segala keputusan hanya diketahui menjelang perlawanan itu nanti.

Beliau juga menjangkakan pertembungan kedua-dua pasukan bakal menjanjikan aksi menarik dan menuntut pemainnya pantas mengambil kesempatan bagi mencipta jaringan dan bijak merangka taktikal yang sudah dirancang sejak seminggu lalu.

"Kita tunggu malam ini, Rangel boleh beraksi atau tidak namun dia sudah menjalani latihan dan menunjukkan peningkatan mendadak sebaik pulih daripada kecederaan," kata Mora.

88 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »